EKONOMI

Bnm Cadang Terap Nilai Maqasid Al-syariah Dalam Pembaharuan Ekonomi - Gabenor

28/05/2024 01:26 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) mencadangkan untuk menerapkan Maqasid al-Syariah dalam pembaharuan ekonomi dan pembaharuan struktur serta memajukan inovasi dalam perdagangan dan wakaf sebagai pemangkin untuk memperkasakan model sosioekonomi yang inklusif dan berdaya tahan.

Selain itu, Bank Pusat juga mencadangkan untuk meneguhkan lagi integrasi global bagi mendorong pembangunan ekonomi bersama dan kemakmuran yang dikongsi bersama dalam kalangan negara Islam, termasuk melalui peningkatan perdagangan antara negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), kata Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.

“Kami mengalu-alukan usaha-usaha yang akan menyokong cadangan-cadangan ini. Hal ini termasuk mengadakan libat urus yang lebih mendalam dan dialog bersasar dengan organisasi pelbagai hala dan pelabur serta inisiatif untuk mempertingkatkan persekitaran kawal selia bagi memudahkan penerapan kontrak Syariah yang lebih pelbagai,” katanya menerusi ucapan alu-aluan beliau pada Forum Global mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) di sini, hari ini. 

Beliau berkata terdapat pelbagai peluang dan cabaran yang dihadapi oleh ekonomi global yang mana perdagangan global dijangka semakin kukuh, inflasi semakin berkurang dan keadaan pasaran pekerja yang positif terus menyokong pertumbuhan global. 

 Bagaimanapun, katanya, risiko pertumbuhan menjadi perlahan terus kekal memandangkan ancaman ketegangan geopolitik yang kian meruncing masih berlarutan dan inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan mungkin menyumbang kepada pasaran kewangan global yang kian tidak menentu.

“Krisis iklim dan kemerosotan alam sekitar juga semakin ketara. Keadaan ini bukan hanya mengganggu-gugat dunia kita secara fizikal, malah turut mengancam nyawa dan mata pencarian orang ramai.

“Terdapat anggaran bahawa jika tiada tindakan mitigasi yang diambil, perubahan iklim mampu mengurangkan KDNK global hingga 18 peratus menjelang 2050,” katanya.

Abdul Rasheed berkata rintangan ini pasti akan memburukkan lagi ketaksamaan ekonomi, melebarkan lagi jurang ekonomi bukan sahaja dalam sesebuah negara malah antara pelbagai negara. 

“Prinsip ekonomi dan kewangan Islam berpotensi memacu pertumbuhan berasaskan nilai, melebihi matlamat keuntungan semata-mata; iaitu pertumbuhan yang seimbang, progresif, mampan dan inklusif.

“Selaras dengan objektif Syariah, kita diseru untuk memupuk kemakmuran bersama.

“Sepanjang sejarah tamadun Islam, kita telah memerhatikan bahawa penerapan prinsip Syariah sebagai panduan pembangunan adalah selari dengan tahap pembangunan masyarakat yang paling maju pada masa tersebut. Hal ini dapat dilihat melalui tahap kemiskinan yang berkurang dan kemakmuran ekonomi yang mantap,” katanya.

GFIEF yang berlangsung selama dua hari bertemakan “Membentuk Ekonomi Islam Global yang Berdaya tahan melalui Pembaharuan Berasaskan Nilai”, melambangkan kerjasama penting menghimpunkan lebih 2,300 perwakilan dari 75 negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan