AM

PM ANWAR AKAN UMUM STRATEGI UTAMA TINGKATKAN SEKTOR SEMIKONDUKTOR MALAYSIA - TENGKU ZAFRUL

28/05/2024 01:07 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan inisiatif utama untuk pertumbuhan eksponen bagi jejak global sektor semikonduktor Malaysia, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. 

Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran ekspo SEMICON Asia Tenggara 2024 di sini hari ini, beliau berkata inisiatif itu akan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam ruang semikonduktor, menekankan kepentingan semikonduktor dan peranan yang boleh dimainkan oleh Malaysia dalam rantaian nilai global.

Tengku Zafrul menyatakan keperluan untuk merebut peluang semasa dalam menjadikan Malaysia sebagai kuasa semikonduktor tulen dan hab pembuatan serantau, menekankan kepentingan bagi menarik lebih banyak pelaburan untuk mempercepatkan kemajuan Malaysia di sepanjang rantaian nilai global.

Beliau berkata dalam tempoh 18 bulan lalu, Malaysia telah menarik perhatian beberapa syarikat elektronik terbesar dan paling canggih di dunia, termasuk gergasi industri seperti Intel, GlobalFoundries, Infineon dan Neways.

Tengku Zafrul berkata memandangkan dunia berada di puncak satu lagi revolusi berasaskan teknologi yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI), masa depan bukan sahaja terletak pada pemasangan dan pengujian cip, tetapi lebih kepada bidang inovasi dan reka bentuk yang menarik.

Katanya Malaysia berada pada kedudukan yang sangat baik untuk memanfaatkan peluang bersejarah itu, berkat cadangan nilai yang kukuh, yang merangkumi kemudahan pembuatan bertaraf dunia, pusat penyelidikan dan pembangunan yang inovatif, tenaga kerja berkemahiran tinggi, insentif menarik dan infrastruktur moden.

Pada masa yang sama, negara juga sedang meningkatkan infrastruktur logistiknya untuk menyokong industri semikonduktor melalui pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bernilai RM1.5 bilion yang dijadualkan siap pada 2028.

Kerajaan turut menubuhkan Pasukan Petugas Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSSTF) untuk menerajui penambahbaikan dalam insentif, bakat dan elemen kritikal lain bagi menyokong pembangunan dan pertumbuhan industri dalam menarik pelaburan asing dan domestik.

Malaysia juga menumpukan kepada mengenal pasti aktiviti-aktiviti utama yang akan meletakkan asas bagi pertumbuhan mampan industri.

Ini termasuk membangunkan bekalan tenaga boleh diperbaharui yang kukuh dan melaksanakan program-program pembangunan vendor tempatan untuk mewujudkan peluang kepada syarikat tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan dengan cara itu ia memupuk ekosistem perindustrian yang cergas, inklusif dan mampan, katanya.

“Saya ingin mengulangi bahawa jangkaan makroekonomi yang lebih kukuh untuk 2024 menandakan trend positif semasa kitaran menaik teknologi global ini.

“Ini dibuktikan dengan jangkaan pertumbuhan dalam petunjuk-petunjuk ekonomi utama, ditambah pula dengan trend ke arah inflasi yang lebih rendah dan kadar pengangguran, serta unjuran ringgit yang bertambah baik,” katanya.

Tengku Zafrul menambah pencapaian memperoleh RM329.5 bilion dalam pelaburan yang diluluskan tahun lepas menunjukkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap kestabilan ekonomi dan potensi pertumbuhan Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan