FOKUS BERNAMA

UNDUK NGADAU WAHANA PELESTARIAN WARISAN BUDAYA DALAM PESTA KAAMATAN

28/05/2024 09:14 AM
Daripada Fadzli Ramli

Memelihara tradisi dan budaya yang diwarisi daripada generasi terdahulu agar tidak ditelan zaman, bukan sesuatu yang mudah pada era serba moden ini terutama di negeri seperti Sabah yang mempunyai 35 etnik dan 217 subetnik.  

Justeru, sekalipun sudah hampir empat tahun bertugas di Negeri di Bawah Bayu ini, penulis yang berasal dari Semenanjung, tetap berasa kagum setiap kali tiba Pesta Kaamatan kerana sepanjang tempoh perayaan, pelbagai tradisi dan budaya diadun dan dipamer kepada seluruh ahli masyarakat.     

Berlangsung sepanjang Mei, Pesta Kaamatan atau pesta menuai mengetengahkan pelbagai acara dan yang paling ditunggu-tunggu adalah Unduk Ngadau, atau dahulunya dikenali sebagai pertandingan ratu pesta menuai masyarakat Kadazan Dusun.

Peredaran zaman menyaksikan Unduk Ngadau menjadi wadah himpunan pelbagai budaya dan warisan di Sabah yang turut memupuk perpaduan rakyat, atau bak kata Pengerusi Jawatankuasa Unduk Ngadau Joanna Kitingan,  “Au kotutun nogi au muhang,” dalam bahasa Kadazan Dusun, bermaksud "Tak kenal maka tak cinta.”

 

UNDUK NGADAU

Bercerita tentang sejarah Unduk Ngadau kepada Bernama, Joanna berkata acara itu bertujuan memperingati anak gadis Dewa Kinoingan dan Suminundu bernama Huminodun yang menurut legenda Kadazan Dusun mengorbankan dirinya demi rakyat.

Kisah Huminodun melambangkan ketaatan, kerelaan dan pengorbanan demi kesejahteraan orang lain, iaitu antara ciri-ciri penting yang perlu ada pada setiap peserta Unduk Ngadau.  

pic-2 

“Tahun ini secara rasmi adalah tahun ke-64 Unduk Ngadau diadakan. Pertandingan ini bukan pertandingan ratu cantik biasa, tetapi ratu tradisi yang melihat kepada pelestarian warisan dan budaya etnik di Sabah.

“Unduk Ngadau ini memperkasakan wanita kita, beri mereka keyakinan untuk bercakap tentang budaya, warisan dan hidup mereka dalam bahasa ibunda masing-masing, sekali gus mengetengahkan warisan dan budaya mereka ke mata masyarakat di seluruh negara, malah dunia,” jelasnya.

Menurut Joanna lagi, pertandingan itu juga menjadi kaedah yang penting untuk menanam minat generasi muda terhadap budaya dan tradisi suku kaum masing-masing yang boleh dikongsikan di media sosial mereka. 

“Kita ini tidak lama (hidup di dunia), (jadi) generasi mudalah harapan kita untuk teruskan warisan dan budaya ini bila kita sudah tiada nanti,” katanya.

Tegas beliau, kecantikan semata-mata tidak akan menjamin kemenangan peserta, sebaliknya mereka mencari seseorang yang bukan sahaja jelita tetapi juga  bijaksana, disokong dengan pengetahuan mendalam tentang budaya dan warisan, selain mempunyai sikap yang dapat dicontohi oleh generasi muda lain.

Katanya, berbanding pertandingan ratu cantik lain di negara ini yang "datang dan pergi", Unduk Ngadau mampu bertahan kerana objektif dan tujuannya yang unik, iaitu memperkasa wanita serta mempertahan warisan dan budaya Sabah.

 

PAKAIAN TRADISIONAL

Menurut Joanna, satu lagi faktor penting dalam Unduk Ngadau adalah setiap peserta akan memperaga pakaian tradisional etnik masing-masing yang mempamerkan, antara lain corak daripada seni Linangkit dan seni manik Pinangkol.

“Peragaan pakaian tradisional ini antara bahagian penting dan ditunggu-tunggu oleh semua dalam Unduk Ngadau.  Kita gembira apabila anak-anak kita dan orang luar Sabah,  bukan sahaja melihat tetapi juga mempelajari tentang pakaian tradisional etnik Sabah dan memastikan busana itu tidak pupus,” katanya.

pic-3

Ujar beliau, dalam usaha memelihara pakaian tradisional etnik daripada pupus, pihaknya mendapatkan dan memulihara pakaian peserta Unduk Ngadau dengan perolehan terbaharu pakaian etnik Milian yang mendiami kawasan Kinabatangan.

Bagi memelihara warisan itu, pihaknya mahu lebih banyak bahan tenunan asli yang dihasilkan oleh etnik di Sabah digunakan pada pakaian tradisional yang diperagakan oleh peserta Unduk Ngadau.

“Ada dapat (corak tradisional) daripada (buatan) mesin, namun kita mahu bantu wanita (yang ada) kemahiran menenun, terutama (yang) diwarisi daripada generasi sebelumnya, supaya kreativiti tersebut digunakan dalam rekaan kontemporari dan meningkatkan ekonomi mereka.

“Ini juga penting bagi memastikan kemahiran mereka tidak hilang begitu sahaja akibat penghasilan corak dan motif ini melalui mesin. Ini usaha kami supaya peserta nanti akan gunakan tenunan asli pada pakaian yang mereka peragakan,” katanya.

Menurut Joanna, kebanyakan penenun tradisional ini ditemukan di Matunggong, Kudat, Tambunan serta Tuaran, dan bagi etnik Rungus, tenunan termahal mereka adalah Tinongkupan yang diharap dapat dipamerkan menerusi pakaian Unduk Ngadau nanti.

 

MENYATUKAN SEMUA

Joanna berkata pada Unduk Ngadau 2024 ini, seramai 51 peserta dijadual menyertai peringkat akhir pertandingan itu yang akan berlangsung di Penampang.

Mereka merangkumi 41 pemenang Unduk Ngadau peringkat daerah di Sabah, lapan daripada cawangan KDCA iaitu Lembah Klang, Putrajaya, Johor, Melaka, Perak, Pulau Pinang,  KDCA Bandaraya dan KDCA Kapayan, serta masing-masing satu dari Labuan dan Sarawak.

pic-4

Jelas beliau, Unduk Ngadau diadakan di Semenanjung menerusi cawangan KDCA Lembah Klang sejak 21 tahun lalu, malah personaliti Daphne Iking yang merupakan pemenang daripada cawangan itu, dimahkotakan Unduk Ngadau peringkat akhir pada 2003.

“Mereka yang berketurunan Sabah walau sedikit, boleh turut bertanding bersama-sama.  Ini satu kebanggaan kepada kita apabila Unduk Ngadau membawa perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia seperti kita lakukan di Sabah berbilang etnik sejak lama dulu.

“Orang sana (Semenanjung) juga boleh tengok dan faham apa itu Unduk Ngadau, Pesta Kaamatan. Kita di Sabah beri mereka faham melalui cara ini, malah seluruh dunia juga. Ini platform yang membentuk perpaduan kita semua, mari kita sambut bersama-sama, kami di Sabah sedia menanti,” katanya. 

Tambah beliau, pertandingan akhir itu yang akan berlangsung pada 31 Mei ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM100,000.

 

BUKAN “BARBIE DOLL”

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (Sabah) Prof Madya Datuk Dr Ramzah Dambul berkata secara luarannya, istilah “Unduk Ngadau”  yang berasal daripada “tunduk om tadau”, bermaksud “tunas dan matahari”, adalah manifestasi semangat padi daripada naratif legenda Huminodun bagi meraikan kehidupan.

“Maksudnya, Unduk Ngadau ini didasari elemen sosiobudaya... bukan pertandingan ratu cantik, tetapi lebih kepada pencarian duta etnik. Kita bukan mahu Barbie Doll, kita inginkan model peranan. Oleh sebab itu kriteria ‘kecantikan’  yang digubal mesti ditafsir secara tuntas, melangkaui aspek fizikal semata-mata.

“Kita bukan sekadar mencari ratu yang cantik dipandang mata penonton, sebaliknya lebih utama kita mencari duta yang cendikia (bijak) dalam memartabatkan citra bangsa kita. Seorang Unduk Ngadau yang sejati mesti memiliki keseimbangan di antara pesona dan karisma,” katanya.

pic-5

Seperti lirik lagu ‘Sumandak Sabah’ nyanyian Velvet dan Marsha, beliau berkata  rangkap “sumandak Sabah pandai masak nasi” adalah satu metafora wanita Sabah yang mampu berfungsi menjaga keluarga dan komuniti mereka, dan bukan wanita yang hanya tahu mencantikkan diri mengejar lelaki pujaan mereka.

Beliau berkata terdapat dua segmen penting dalam Unduk Ngadau, iaitu peragaan dan pengucapan awam yang masing-masing memerlukan peserta memahaminya.

Katanya, faktor yang penting dalam peragaan adalah tentang busana dan pesona peserta itu, bukan cat walk sebuah pertunjukan fesyen, justeru konsep “kembali ke asas” dan “kurang itu lebih” (less is more) adalah penting untuk dihayati.

“Bila busana terlalu ‘meriah’ (menyerlah), ditambah dengan aksesori moden yang tidak perlu seperti anting-anting berayun macam buaian, rantai leher terjurai-jurai dan sebagainya, kadang-kadang personaliti si pemakai boleh tenggelam. Sudah nampak macam kedai baju bergerak,” ujarnya.

Ramzah berpendapat tidak perlu mengenakan aksesori berlebihan terutama aksesori moden yang bukan sebahagian daripada pakaian itu sendiri, agar dapat menyerlahkan peserta, bukan peserta menyerlahkan aksesori itu. 

 

DUTA BERKARISMA

Bagi pengucapan awam pula, beliau menasihati peserta supaya tidak bercakap sebagai “seorang ratu”, sebaliknya bercakap dengan yakin dan berpengetahuan sebagai seorang duta berkarisma yang mahu mengetengahkan warisan dan budaya mereka ke mata dunia.

“Dedahkan calon peserta dengan ilmu sosiobudaya, ketahanan mental dan keyakinan diri. Kurangkan kegilaan dan obsesi pada imej fizikal juga taasub dengan imej Barbie Doll dalam pertandingan ratu cantik. Berikan unduk-unduk kita pendedahan bersifat motivasi dan inspirasi.

Teach them how to embrace their natural qualities and to make peace with all their flaws. Motivate and inspire them to be really comfortable with who they are. Anda tidak perlu menjadi sempurna untuk cantikUnduk perlu naik ke atas pentas sebagai diri mereka sendiri bukan Barbie Doll,” tegasnya.

Justeru, beliau menasihati peserta supaya mementingkan aspek pengetahuan dan sosiobudaya, selain tidak keterlaluan dalam aspek solekan, andaman atau hiburan, kerana ada peserta mengambil masa berjam-jam hanya untuk bersolek atau mengenakan busana.

Ramzah berkata pemenang Unduk Ngadau 2021 iaitu Maya Hejnowska merupakan antara Unduk Ngadau yang mampu “menterjemahkan” mahkota itu sebagai seorang duta berkarisma dan ciri-ciri model peranan yang ditunjukkan oleh beliau perlu dicontohi oleh peserta pertandingan tersebut.

“Tengok sahaja sesi soal jawabnya. I think she was probably among the first to break the stereotype. Dia tidak hanya bercakap, tetapi dia memujuk dan mendidik. She really conquered the hall, and projected herself so strongly and confidently,” katanya.

Selain itu katanya, Charity Jimis merupakan antara peserta Unduk Ngadau yang perlu dijadikan contoh dalam pengucapan awam kerana mampu mengawal pentas, dan penonton terpesona bukan hanya dengan kecantikan gadis itu tetapi aura yang diserlahkan beliau.

 

SEBUAH TANGGUNGJAWAB

Penulis pernah bertanya kepada Maya tentang perkara paling penting dalam menggalas gelaran Unduk Ngadau, dan jawapannya adalah “tanggungjawab yang datang bersama-sama gelaran itu, terutama sebagai model peranan untuk generasi muda, khususnya golongan gadis.”

“Bila menang Unduk Ngadau ini kita mewakili Sabah dan juga rakyatnya. Ia mengenai tanggungjawab kepada rakyat dan belajar menjadi lebih baik. Selepas menjadi Unduk Ngadau, saya belajar banyak perkara seperti bertemu ‘bobohizan’, belajar tentang upacara tradisional dan tradisi etnik kita di Sabah,” katanya.

Gadis berketurunan Kadazan-Poland itu berharap Unduk Ngadau akan diteruskan dan menjadi platform bagi mengukuhkan perpaduan  dalam kalangan masyarakat Sabah di samping memperkasa generasi muda.

Timbalan Ketua Menteri II Sabah Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang juga Timbalan Presiden KDCA,  berkata kemuncak Pesta Kaamatan adalah pertandingan Unduk Ngadau, di mana peserta akan diadili di depan juri profesional dan seterusnya dinobatkan sebagai Unduk Ngadau.

Ujarnya, tanggapan bahawa Unduk Ngadau sebagai pertandingan ratu cantik adalah satu pemahaman yang meleset.

 Sebaliknya, acara itu perlu dilihat sebagai tanggungjawab meneruskan legasi Huminodun yang menyayangi rakyatnya sehingga sanggup mengorbankan diri.

“Inilah sebabnya kita mahukan semua yang bergelar Unduk Ngadau mempunyai kelakuan yang baik semasa dan di luar pertandingan, terutama mereka yang akan menang kelak.

“Gadis yang dinobatkan sebagai Unduk Ngadau harus menjiwai pesona dan sunduan (semangat) Huminodun secara holistik, menghayati nilai-nilai murni tradisi dan mempraktikkan ilmu yang dipelajari agar menjadi teladan dan ikon yang dihormati ahli masyarakat,” katanya.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan