EKONOMI

Equinix Buka Dua Pusat Data Ibx Di Johor Dan Kuala Lumpur

27/05/2024 10:50 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Equinix, Inc., syarikat infrastruktur digital dunia, telah membuka dua pusat data International Business Exchange (IBX) di Johor dan Kuala Lumpur.

Dalam satu kenyataan hari ini, Equinix berkata kemudahan itu mewujudkan infrastruktur digital yang teguh di Malaysia untuk menyokong cita-cita ekonomi digital, khususnya sebagai hab digital serantau.

Perniagaan yang berpangkalan di Malaysia akan mendapat akses kepada ekosistem global lebih 10,000 perusahaan, rangkaian dan penyedia perkhidmatan awan, manakala perniagaan global boleh merebut peluang digital yang ditawarkan oleh negara, katanya.

Memandangkan perniagaan terus menerima transformasi digital dan teknologi termaju seperti kecerdasan buatan (AI), keperluan untuk infrastruktur digital yang padat dengan rangkaian, bersebelahan awan dan atas permintaan menjadi paling penting.

Presiden Equinix Asia Pasifik Jeremy Deutsch berkata Malaysia merupakan pasaran asas dan destinasi utama yang sangat dicari oleh pelanggan berharga syarikat itu.

"Kami berdedikasi untuk menyampaikan penyelesaian infrastruktur digital yang luar biasa yang memperkasakan perniagaan untuk berkembang maju dalam landskap dinamik ini, menyemarakkan inovasi, pertumbuhan ekonomi dan kemajuan masyarakat," katanya.

Kehadiran Equinix di Malaysia sejajar dengan inisiatif MyDIGITAL kerajaan yang berusaha untuk menggariskan strategi bagi negara dalam mempercepatkan pembangunan produk dan perkhidmatan digital.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata keputusan Equinix untuk meluaskan kehadirannya di Malaysia mencerminkan keyakinan berterusannya terhadap landskap perindustrian negara, yang sedang menjalani inisiatif transformatif utama seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

“Pusat data ini akan menyediakan perniagaan, khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) domestik, dengan ketersambungan yang lancar dan akses kepada rangkaian global yang luas, sambil memacu inovasi merentas pelbagai sektor di Malaysia,” katanya.

Tengku Zafrul menambah bahawa pelaburan syarikat itu akan membuka jalan kepada penciptaan peluang pekerjaan bernilai tinggi dan mendorong pertumbuhan ekonomi, memperkasakan rakyat dan perniagaan Malaysia untuk cemerlang dalam era digital.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pusat data termaju Equinix akan mewujudkan peluang besar kepada perniagaan terutamanya perusahaan tempatan untuk berinovasi dan berkembang apabila mereka berintegrasi dengan ekosistem global.

“Kami mengalu-alukan pengembangan Equinix di Malaysia, satu langkah yang mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab digital di rantau ini. Usaha ini menekankan komitmen kami untuk memupuk persekitaran perniagaan yang mesra pelabur.

“MIDA berdedikasi untuk memudahkan pelaburan seperti Equinix, yang bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi tetapi juga memupuk inovasi dan mewujudkan peluang pekerjaan yang mampan di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan