AM

Spm 2023: Media Sosial Bantu Pelajar Orang Asli Raih Keputusan Cemerlang

27/05/2024 09:50 PM

GUA MUSANG, 27 Mei (Bernama) -- Menjadikan platform media sosial sebagai medium mendapatkan nota ringkas ketika mengulang kaji pelajaran membantu remaja Orang Asli dari suku kaum Temiar di sini, Mizuka Janneysan, 18, memperoleh keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Beliau yang mendapat 4A, 5B dalam peperiksaan itu tidak menyangka teknologi berkenaan banyak membantunya untuk lebih memahami dengan cepat ketika mengulang kaji pelajaran.

"Jika tidak faham dengan topik yang dipelajari atau ingin menambah lagi pengetahuan terhadap subjek itu saya akan gunakan aplikasi TikTok, Instagram dan Telegram sebagai bahan rujukan kerana ia sangat menarik, interaktif dan mudah difahami," katanya ketika ditemui pemberita dekat rumahnya di Kuala Betis, di sini hari ini.

Anak sulung daripada empat beradik itu berharap kejayaan yang dikecapinya akan menjadi pembakar semangat kepada anak-anak Orang Asli yang lain untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh dan tidak ketinggalan dalam dunia teknologi. 

"Saya satu-satunya pelajar Orang Asli di Sekolah Menengah Sains Gua Musang yang menduduki peperiksaan SPM tahun lepas, jadi saya perlu buktikan kepada mereka yang saya boleh berjaya.

"Saya harap akan lebih ramai lagi anak-anak Orang Asli di Kelantan ini akan berjaya untuk mengubah nasib keluarga dan sentiasa mahu bersaing dengan kaum lain di negara ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan