AM

Huawei, Unikl Meterai Mou Mengenai Kerjasama Akademik Dan Penyelidikan Teknologi Bandar Pintar

27/05/2024 09:11 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) melalui kampus cawangan UniKL British Malaysian Institute (UniKL BMI) hari ini, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama akademik dan penyelidikan teknologi bandar pintar.

Huawei Malaysia dan UniKL dalam satu kenyataan bersama hari ini memaklumkan MoU itu yang ditandatangani di Shenzhen, China, membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama dalam penyelidikan pencegahan bencana bandar serta aktiviti dan program lain yang mempunyai kepentingan bersama yang menjurus kepada inovasi teknologi.

Menerusi MoU itu, Pusat Operasi Pintar Huawei (IOC) akan ditubuhkan di UniKL BMI untuk peluang penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta memperkasakan UniKL dengan penyediaan latihan kursus jangka pendek kepada penuntutnya dan orang ramai sambil memupuk inovasi teknologi serta latihan praktikal.

“Huawei Malaysia dan UniKL akan memulakan pertukaran maklumat akademik dan penyelidikan atau bahan khusus mengenai Kawalan Pemantauan Banjir,” menurut kenyataan itu. 

Pada majlis pemeteraian perjanjian itu, Huawei Malaysia diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Simon Sun manakala UniKL diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Profesor Madya Ir Dr Azman Senin dan disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke China.

Azman berkata MoU itu bukti komitmen universiti untuk menyediakan pelajarnya peluang dan sumber pembelajaran terbaik.

"MoU ini membuka lembaran baharu buat UniKL dan kami berharap kerjasama itu akan membuahkan hasil dengan Huawei Malaysia dapat memberi manfaat kepada pelajar, penyelidik serta masyarakat," katanya.

Sementara itu, Simon Sun berkata IOC yang akan ditubuhkan di UniKL BMI akan menjadi alat  pendidikan, penyelidikan dan pembangunan untuk pelajar serta penyelidik ketika mereka menuju ke arah masa depan bandar pintar yang berhubung serta pintar. 

“Huawei IOC model untuk bantuan membuat keputusan dan ramalan menggunakan sejumlah besar data khusus industri. Ia membolehkan penggunaan tenaga kerja dan sumber yang cekap dalam situasi kritikal seperti banjir yang membawa kepada tadbir urus bandar lebih baik,” katanya.

UniKL ialah institusi pengajian tinggi milik penuh Majlis Amanah Rakyat, sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Kerjasama UniKL dengan Huawei Malaysia bermula pada 2012 apabila UniKL menjadi Makmal Pengajaran Universiti Huawei.

Matlamat utama untuk mengukuhkan, mempromosi dan membangunkan kerjasama pembinaan kapasiti berdasarkan kesaksamaan serta faedah bersama.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan