AM

Sc Mahu Bekerjasama Dengan Universiti Dan Pelajar Untuk Program Invested - Pengerusi

27/05/2024 08:36 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mahu meningkatkan usaha dalam mendekati lebih ramai pelajar, terutamanya yang berada di universiti awam bagi memastikan tiada bakat yang terlepas peluang untuk memasuki program siswazah pasaran modalnya iaitu investED.

Pengerusi SC, Datuk Seri Awang Adek Hussin berkata ini akan dibuat dengan memperluaskan capaian program itu untuk merangkumi lebih banyak universiti dan pelajar di seluruh negara.

“Selain itu, maklum balas daripada peserta serta profesional industri mampu membantu kami menyesuaikan program itu untuk memenuhi dengan lebih baik keperluan profesional dalam industri pasaran modal,” katanya pada majlis penyampaian ijazah kohort pertama investED hari ini.

Awang Adek berkata SC juga telah mendapatkan respons daripada peserta termasuk profesional industri yang akan membantu menyesuaikan program dan format ceramah kerjaya bagi memenuhi keperluan profesional dalam industri modal.

“Selain itu, kami berhasrat untuk mengembangkan rangkaian rakan kongsi industri kami dengan tujuan menyediakan pelatih kami dengan lebih banyak opsyen.

“Ini juga akan membantu kami memupuk lebih ramai penceramah, mewakili spektrum luas kumpulan umur, latar belakang serta peringkat kerjaya untuk berhubung secara lebih baik dengan graduan muda kami,” katanya. 

Program investED selama tiga tahun telah ditubuhkan bagi mewujudkan saluran bakat yang mampan yang bukan sahaja akan memenuhi keperluan industri tetapi juga memacu inovasi dan pertumbuhan dalam industri pasaran modal.

“Kami menetapkan matlamat kami untuk meningkatkan pengetahuan pasaran modal 9,000 pelajar selain membuka peluang kepada 600 graduan bagi memulakan laluan kerjaya yang menjanjikan dalam industri pasaran modal,” katanya. 

Pada tahun pertama program itu, Awang Adek berkata pengambilan Program Asasi investED telah menarik 2,526 pemohon, pencapaian 216 peratus berbanding sasaran awal iaitu 800 permohonan pelajar.

Kohort pertama Program Kepimpinan investED, yang bermula pada Ogos 2023 telah menarik lebih 2,500 permohonan daripada graduan baharu dan antara 200 calon yang disenarai pendek, 169 mengakhiri pengajian hari ini selepas menamatkan penempatan kerja selama enam bulan dengan 53 syarikat rakan kongsi.

Program Kepimpinan InvestED kini menerima permohonan untuk kohort kedua sehingga 30 Jun 2024.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan