AM

SPM 2023: GRED PURATA NASIONAL LEBIH BAIK BERBANDING 2022, 2021

27/05/2024 02:50 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Gred Purata Nasional keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, merekodkan pencapaian yang baik dengan 4.60 berbanding 4.74 pada 2022 dan 4.86 pada 2021.

Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata sebanyak 11,713 calon iaitu 3.1 peratus daripada keseluruhan 373,525 calon yang menduduki SPM tahun lepas, memperoleh keputusan cemerlang (gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran dan ia meningkat 0.4 peratus berbanding 2022.

Di PUTRAJAYA, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya Ezaiddin Hussain berkata seramai 187 calon SPM 2023 memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran, meningkat 2.07 peratus berbanding 138 calon (8.14 peratus) pada 2022.

“Secara keseluruhannya, berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP), sebanyak 20 daripada 28 mata pelajaran telah menunjukkan peningkatan prestasi dengan lima mata pelajaran teras," katanya.

Di SELANGOR, Pengarah Pendidikan negeri Dr Jafri Abu berkata keputusan Gred Purata Negeri (GPN) bagi 2023 adalah 4.67, meningkat 0.13 mata daripada 4.80 pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata daripada 65,452 calon, seramai 2,005 calon (3.15 peratus) memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran berbanding 1,860 calon (2.94 peratus) pada 2022.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan Dr Roslan Hussin berkata GPN negeri itu meningkat 0.17 mata kepada 4.33 mata pada 2023 sekali gus mencatat pencapaian terbaik dalam tempoh 10 tahun. 

"Daripada 14,158 calon menduduki peperiksaan SPM 2023, 631 calon iaitu 4.55 peratus memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran berbanding 553 calon pada tahun sebelumnya," katanya.

Menurut Roslan Kolej Tunku Kurshiah memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) terbaik dengan 1.25 mata bagi kategori sekolah berasrama penuh manakala sekolah menengah harian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V mencatatkan GPS 2.21.

Di MELAKA, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Mohd Ghazali Ahmad berkata negeri itu mencapai GPN 4.59, meningkat 0.18 mata berbanding 4.77 pada 2022.

“Sebanyak 336 calon daripada 10,458 pelajar sekolah Kementerian Pendidikan di Melaka telah memperoleh gred A (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran dengan lima pelajar berjaya mencapai gred cemerlang tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran diambil,” katanya.

Bilangan sekolah yang mencapai 100 peratus layak menerima sijil pula menunjukkan peningkatan iaitu  21 sekolah berbanding 16 pada 2022.

Di PERAK, Pengarah Pendidikan negeri Datuk Mohamad Fauzi Mahson berkata keputusan GPN 2023 adalah 4.75, merekodkan peningkatan 0.17 mata berbanding 4.92 pada 2022.

Beliau berkata 772 calon (2.83 peratus) daripada 27,259 calon memperoleh keputusan cemerlang dengan enam calon memperoleh A+ bagi semua mata pelajaran yang diambil.

“Antara faktor kejayaan itu adalah pelbagai langkah yang diambil pelbagai pihak termasuk Menteri Besar Perak menerusi program Tuisyen Cikgu Saarani yang antaranya membabitkan Bantuan Makanan Percuma kepada calon SPM dengan peruntukan lebih RM 2 juta pada tahun lepas,” katanya.

Di PAHANG, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang Amzan Abd Malek berkata 517 calon atau 3.08 peratus daripada 16,782 calon yang menduduki peperiksaan SPM mencapai keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran berbanding 405 calon pada 2022, dengan empat calon memperoleh semua A+.

”Bagi Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK), sebanyak 11 calon daripada 110 telah mendapat keputusan cemerlang sekurang-kurangnya 5A,” katanya.

Berkaitan calon Orang Asli, beliau berkata 41 calon daripada 609 calon telah mendapat sekurang-kurangnya 5A (A+/A/A-) berbanding 36 calon pada 2022.

Di JOHOR, Pengarah Pendidikan Negeri Johor Mohd Hanafi Samad berkata GPN negeri itu pada 2023 mencatat 4.48 , sekali gus mengatasi pencapaian Gred Purata Nasional iaitu 4.60.

"Sebanyak 1,247 calon memperoleh keputusan cemerlang SPM dengan 20 daripadanya memperoleh A+ bagi kesemua mata pelajaran," katanya sambil menambah lima daripada 133 calon SPM berkeperluan pendidikan khas pula berjaya memperoleh 7A dan ke atas.

Di TERENGGANU, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Jelani Sulong berkata pencapaian GPN negeri itu meningkat kepada 4.41 pada 2023 berbanding 4.59 pada tahun sebelumnya.

“Daripada 16,382 calon yang menduduki SPM 2023, seramai 464 calon atau 2.83 peratus berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran dengan sembilan calon berjaya mendapat gred A+ dalam semua mata pelajaran diduduki,” katanya.

Beliau berkata jurang gred purata mengikut lokaliti bandar dan luar bandar juga semakin baik iaitu 0.68 mata berbanding 0.71 mata pada tahun lepas.

Di KELANTAN, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan Jabatan Pendidikan negeri Mohamad Abd Wahab berkata negeri itu mencatat keseluruhan GPN 4.72 bagi keputusan SPM 2023 berbanding 4.88 pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata seramai sembilan calon mendapat gred A+ dan seramai 395 calon mendapat sekurang-kurangnya gred A- bagi semua mata pelajaran yang diambil, sekali gus mewakili 2.02 peratus keseluruhan calon sekolah kerajaan pada 2023.

“Sebanyak 52 sekolah menunjukkan GPS mengatasi GPN pada 2023 dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lil Banat, Kota Bharu memperoleh GPS terbaik," katanya.

Di KEDAH, Pengarah Pendidikan negeri Ismail Othman berkata pencapaian GPN meningkat 0.21 peratus kepada 4.77 tahun lepas berbanding 4.98 pada 2022 dan ia merupakan pencapaian terbaik negeri itu dalam tempoh 13 tahun.

“Sebanyak 14 calon mendapat pencapaian cemerlang dan 568 calon memperoleh gred semua A (A, A+ dan A-), manakala 14 sekolah memperoleh peningkatan Gred Purata 0.80 dan ke atas (Lonjakan Saujana)," katanya.

Sebanyak 21 sekolah pula mencapai GPS di bawah 3.0 manakala GPMP matematik di Kedah menunjukkan peningkatan tertinggi sebanyak 0.27 peratus daripada 5.86 kepada 5.59, antara semua mata pelajaran.

Di PERLIS, Pengarah Pendidikan negeri Rose Aza Che Arifin berkata GPN negeri itu menunjukkan paras terbaik selepas mencatatkan 4.74 berbanding 4.82 pada 2022.

Beliau berkata sebanyak 50 calon SPM 2023 berjaya memperoleh gred cemerlang bagi semua mata pelajaran yang diduduki.

"SPM 2023 juga menunjukkan jurang pencapaian calon di bandar dan luar bandar meningkat sebanyak 0.08 peratus mengikut GPS iaitu 0.84 peratus pada 2023 berbanding 0.92 pada 2022," katanya.

Di PULAU PINANG, Pengarah Pendidikan negeri Abdul Said Hussain berkata GPN negeri itu menunjukkan prestasi lebih baik, meningkat 0.11 mata kepada 4.49 berbanding 4.60 pada tahun sebelumnya.

“Daripada keseluruhan 15,655 calon di negeri ini, seramai 755 calon memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran dengan SMK Bukit Jambul menduduki tempat pertama daripada 12 sekolah terbaik Pulau Pinang iaitu GPS 1.53,” katanya.

Di SABAH, Pengarah Pendidikan negeri Datuk Raisin Saidin berkata nilai GPN meningkat 0.13 mata kepada 5.09 mata pada 2023 berbanding 5.22 mata pada 2022.

Menurut Raisin 484 calon atau 1.38 peratus daripada 35,126 calon yang menduduki peperiksaan SPM 2023 berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran berbanding 344 calon (0.95 peratus) pada 2022. 

“Pencapaian GPN calon bandar menurun 0.10 mata kepada 5.28 mata daripada 5.38 mata pada 2022 manakala pencapaian calon luar bandar juga menurun 0.20 mata kepada 4.75 mata daripada 4.95,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan