EKONOMI

Spil Labur Rm6 Bilion Bina Kemudahan Pembungkusan Dan Pengujian Semikonduktor P1 Di Pulau Pinang

27/05/2024 08:39 AM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Syarikat pembungkusan dan pengujian semikonduktor Siliconware Precision Industries Co Ltd (SPIL) akan membina kilang P1 bernilai RM6 bilion di atas sebidang tanah seluas lapan hektar di Bandar Cassia Technology Park, Pulau Pinang.

Majlis pecah tanah bagi pembinaan kilang syarikat dari Taiwan itu dilaksanakan pada Jumaat.

Kilang itu dijangka menjana 3,000 peluang pekerjaan berkemahiran, serta memperkenalkan teknologi pembungkusan dan pengujian termaju seperti wafer bumping, dan menawarkan penyelesaian siap guna menyeluruh selama 15 tahun, kata SPIL dan Malaysian Investment Development Authority (MIDA) serta InvestPenang dalam satu kenyataan bersama.

"Inisiatif ini dijangka dapat mengurangkan kitaran pengeluaran dengan ketara, meningkatkan kecekapan dan daya saing dalam industri semikonduktor," katanya.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pelaburan RM6 bilion oleh SPIL ini mengesahkan kedudukan Malaysia bukan sahaja sebagai destinasi pilihan bagi syarikat semikonduktor global, tetapi juga sebagai sebuah negara yang serius dalam melaksanakan komitmen terhadap pelabur.

Beliau berkata Pasukan Petugas Strategik Semikonduktor Nasional telah memacu banyak inisiatif utama untuk menarik dan melaksanakan pelaburan dalam sektor ini, disokong oleh kepakaran MIDA selama lebih setengah abad.

“Semua ini adalah faktor kejayaan utama bagi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, yang bertujuan untuk meningkatkan kompleksiti ekonomi dan menjalin hubungan yang lebih kukuh antara syarikat global dan perusahaan kecil dan sederhana tempatan, sambil mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran dan bergaji tinggi untuk rakyat Malaysia.

“Saya yakin inisiatif ini juga akan membantu meningkatkan kedudukan sektor semikonduktor kita dalam rantaian nilai global,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pelaburan SPIL membawa kelebihan yang besar kepada industri semikonduktor Malaysia.

“Sebagai salah satu daripada 10 syarikat pemasangan dan ujian semikonduktor penyumberan luar terbaik global, pembinaan kemudahan (SPIL) di Pulau Pinang adalah bukti kepada ekosistem semikonduktor negara yang mantap.  

“Projek ini akan meningkatkan dengan ketara rantaian bekalan negara, khususnya dalam industri semikonduktor, dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi dalam bidang kejuruteraan dan teknikal untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Sikh Shamsul berkata ia juga akan mempercepatkan eksport produk buatan Malaysia di peringkat global, meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam pasaran semikonduktor antarabangsa dan memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Sementara itu, CEO SPIL Malaysia Michael Chang berkata penubuhan kilang P1 akan memupuk inovasi di Pulau Pinang, mewujudkan pangkalan pembungkusan dan ujian termaju, memupuk bakat dan tenaga kerja dalam semikonduktor, serta meningkatkan keupayaan teknologi.

Chang melahirkan ucapan terima kasih kepada MIDA dan InvestPenang atas bimbingan mereka sepanjang projek itu, yang mempamerkan kejayaan kerjasama antara kerajaan pusat dan tempatan.

Beliau juga berkata pengembangan SPIL sejajar dengan trend global, meletakkan Malaysia sebagai hab penting bagi Asia Timur dan rantaian bekalan perindustrian global.

“Langkah strategik ini akan mengukuhkan pasaran pembungkusan dan pengujian global, memacu inovasi dan pembangunan dalam kumpulan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di Lembah Silikon Timur,” katanya.

SPIL juga komited terhadap kelestarian alam sekitar, setelah melaksanakan pelbagai langkah pembuatan hijau seperti penjimatan tenaga dan air serta pengurangan sisa semasa peringkat pembinaan.

Ia turut merancang untuk mendapatkan Inisiatif Bangunan Hijau (GBI) Green Globes Certification dan mencapai matlamat pengurangan karbon bersih-sifar 2050 melalui penambahbaikan proses, pemuliharaan tenaga bangunan hijau dan pelaburan dalam tenaga elektrik hijau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan