SUKAN

KEJAYAAN BERGANDA BUAT SOON HUAT-SHEVON MUNCUL JUARA MASTERS MALAYSIA

26/05/2024 07:24 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai meraih kegembiraan berganda, apabila meraih gelaran kejohanan Masters Malaysia 2024 di Axiata Arena di sini, hari ini.

Pasangan suami isteri di kedudukan ranking ke-18 dunia itu, meraih hadiah perkahwinan seperti diidamkan untuk muncul juara dengan menewaskan pilihan ketiga dari Indonesia Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 21-18, 21-19, dalam masa 48 minit.

Kejayaan itu turut menyaksikan Soon Huat-Shevon yang baharu sahaja mendirikan rumah tangga pada 4 Mei, menamatkan kemarau tujuh Masters Malaysia untuk wakil negara meraih gelaran kejohanan Super 500 itu.

Kali terakhir wakil Malaysia muncul juara Master Malaysia ialah Tan Kiang Meng-Lai Pei Jing pada edisi 2017.

Kejohanan itu tidak diadakan pada 2021 kerana pandemik COVID-19.

Soon Huat-Shevon yang terlepas gelaran Masters Malaysia pada 2017 selepas tewas 17-21, 9-21 kepada Kiang Meng-Pei Jing pada final, berkata mereka akhirnya berjaya merealisasikan impian selama ini untuk muncul juara di laman sendiri.

“Sebab setiap kali kita lihat orang dari negara lain yang menang, menaiki podium (rasa sedih), dan akhirnya kita berjaya kali ini untuk Malaysia. Kami belum rancang apa-apa lagi untuk bulan madu, tetapi mahu fokus untuk kejohanan seterusnya, iaitu Terbuka Singapura dan Indonesia.

“Pastinya Jelajah Dunia Akhir (di Hangzhou, China pada Disember) menjadi sasaran seterusnya buat kami. Jadi kami terus memperbaiki diri kami, bersedia untuk layak,” kata Soon Huat, yang mengakui bahawa Shevon tidak bercakap kepada buat seketika, selepas tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Thailand minggu lepas. 

Sementara itu, Shevon menganggap kejayaan meraih gelaran di hadapan penyokong dan keluarga di Masters Malaysia, sebagai antara detik paling manis dalam karier mereka.

“Ketika mula bermain di kejohanan ini, kami tak jangka untuk menang, kerana melihat kepada undian, kami ada beberapa halangan dan perlawanan hari ini masih 50-50, walaupun kami mempunyai rekod pertemuan lebih baik (5-1) dan masing-masing semakin meningkat dan ada perancangan masing-masing. Jadi kami tidaklah terlalu yakin, tetapi berjaya mengawal emosi dan bermain dengan baik.

“Memenangi Terbuka Siss (pada Mac) selepas layak ke final tiga kali, merupakan yang terbaik tetapi kali ini tentunya perasaan yang berbeza. Saya lihat penonton bersorak menyokong kami, keluarga saya juga di sini menyokong, ini buatkan saya terharu,” katanya.

Selepas tidak lagi mendapat sokongan daripada Institut Sukan Negara (ISN) apabila digugurkan daripada program Road to Gold (RTG) pada Oktober lepas kerana terlepas peluang ke Olimpik Paris 2024, Shevon berkata mereka lebih berhati-hati untuk mengelakkan kecederaan, untuk mencapai sasaran ke Hangzhou. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan