AM

KERTAS SIASATAN KES LUPUS BERAS DI TAPAK PEMBUANGAN SAMPAH SUDAH SIAP

26/05/2024 04:51 PM

KUANTAN, 26 Mei (Bernama) -- Kertas siasatan terhadap kes pelupusan beratus-ratus kampit beras dan barangan keperluan harian lain di Jalan Pintasan Rumpun Makmur, Kampung Gunung Senyum, Temerloh yang membabitkan bekas Ahli Parlimen Kuala Krau Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said sudah disiapkan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata kertas siasatan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Pahang kini berada di peringkat bahagian undang-undang Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk dilihat secara keseluruhannya. 

“Semua siasatan sudah lengkap, rakaman percakapan pun telah diambil (membabitkan) sembilan orang. Maka, tinggal menunggu tindakan selanjutnya selepas bahagian undang-undang (KPKT) menelaah keseluruhannya (kertas siasatan). 

“Sebab kita, mahu memastikan apa-apa pun tindakan (diambil) lengkap. Contoh, sekiranya berlaku lagi kesalahan, tidak akan terlepas lagi. Selepas bahagian undang-undang di peringkat KPKT, ia akan diberikan kepada AG (peguam negara) untuk tindakan seterusnya kerana kementerian tidak ada kuasa pendakwaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB): Karnival Komuniti PPR @ Program Perumahan Rakyat Disewa Pinggiran Putra 3 di sini hari ini. 

Pada April lepas, tular video menerusi media sosial yang memaparkan barangan asas antaranya beras, tepung dan sardin dibuang di tapak pelupusan sampah hingga menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat.

Ismail yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri dalam satu kenyataan sebelum ini berkata barangan keperluan asas itu sudah dicemari kutu beras dan tidak sesuai diagihkan kepada orang ramai.

Beliau dipetik berkata beras dan barangan dapur berkenaan merupakan stok simpanan yang sentiasa disediakan bagi memenuhi permintaan orang ramai ketika menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Kuala Krau dari 2004 hingga 2022.

Barangan dapur itu katanya disediakan menggunakan peruntukan peribadi sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022 dan umum mengetahui bahawa dalam tempoh berkempen, tiada sebarang pemberian barangan kepada orang awam dibenarkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan