AM

Batik Rahmah Bantu Rakyat Miliki Kemeja Batik Pada Harga Lebih Murah

26/05/2024 03:45 PM

CHUKAI, 26 Mei (Bernama) -- Busana batik Malaysia sememangnya mempunyai keistimewaan tersendiri, namun faktor harga yang agak tinggi adakalanya membantutkan hasrat seseorang untuk menyarungnya.

Peka dengan keadaan itu, seorang pengusaha batik dari Kuala Terengganu, Wan Noor Diran Wan Long, 56, mengambil inisiatif mengeluarkan kemeja batik Rahmah pada harga serendah RM69.

Wan Noor Diran berkata beliau mula memperkenalkan batik Rahmah pada Oktober tahun lepas selepas arahan kerajaan yang mewajibkan penjawat awam memakai busana itu pada setiap Khamis.

"Ramai pelanggan yang datang ke kedai merungut kerana harga batik agak mahal. Bagi pegawai atasan harga itu mungkin tidak menjadi masalah, namun untuk mereka di peringkat bawah ia amat membebankan.

"Dari situ timbul rasa kasihan dan saya ambil keputusan untuk keluarkan kemeja batik Rahmah bagi membantu penjawat awam dan orang ramai dapatkan batik pada harga lebih rendah berbanding biasa," katanya kepada Bernama di Festival Kraf Pantai Timur 2014 di Mesra Mall, Kemasek, di sini baru-baru ini.

Wan Noor Diran berkata walaupun margin keuntungan jualan batik Rahmah agak rendah, beliau tetap berpuas hati kerana dapat memberi peluang kepada semua lapisan rakyat memiliki busana batik yang sinonim dengan rakyat Terengganu itu.

Beliau juga menitikberatkan aspek kualiti supaya kemeja batik Rahmah berkenaan tahan lama dan setanding dengan produk keluaran lain yang dijual pada harga yang lebih mahal.

"Penghasilan corak juga menggunakan teknik cap atau terap bagi memelihara aspek kualiti dan keaslian mutunya. Ia berbeza dengan teknik cetak yang dipraktikkan secara meluas oleh ramai pengusaha batik pada hari ini.

"Setiap hari saya dapat hasilkan kira-kira 50 pasang kemeja batik Rahmah yang dijual secara dalam talian dan di kedai kami di Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu serta Dataran Pahlawan, Melaka," katanya.

Menurut Wan Noor Diran, kemeja bersaiz S hingga L dijual pada harga RM69 manakala XL pula pada RM89.

"Untuk batik Rahmah saya keluarkan produk hingga saiz XL sahaja.

“Saya dapat jual pada harga lebih rendah kerana terlibat dengan semua proses pengeluaran dari mula hingga akhir," katanya sambil menambah perusahaan batiknya turut diuruskan oleh lima anaknya yang berminat dalam memelihara seni warisan bangsa dan budaya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan