AM

Hbn2024: Nadi Bantu Usahawan Lonjak Pendapatan

26/05/2024 01:40 PM

MELAKA, 26 Mei (Bernama) -- Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang ditubuhkan kerajaan nyata membantu melonjakkan pendapatan peniaga menerusi pelbagai bantuan terutama berkaitan penggunaan teknologi dan khidmat nasihat.

Pemilik Gerobok Puan Kraf and Food Noor Baizura Abdul Wahid, 39, berkata hasil penyertaan aktif di NADI Jalan Kemus, Alor Gajah, pendapatannya kini mampu mencecah lima angka sebulan selepas mula berniaga menjual pelbagai produk kraftangan dan makanan sejak 2017.

“Pada 2017, saya yang bekerja di Kuala Lumpur mengikut suami balik kampung untuk memulakan perniagaan. Pada mulanya saya hanya membuka gerai di tepi jalan dengan menjual barangan kraf sahaja.

“Kerana tak ada kemudahan komputer riba, saya kemudiannya mengunjungi NADI pada 2019 untuk menggunakan perkhidmatan di pusat tersebut untuk membuat kertas kerja bagi memohon geran bantuan daripada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama di Pavilion RIUH x Hari Belia Negara di Dataran Pahlawan, Banda Hilir di sini hari ini.

Mengulas lanjut, ibu kepada lima anak berusia antara tiga hingga 14 tahun itu berkata di NADI, kakitangan di pusat berkenaan kemudiannya mengajar beliau cara membuat kertas kerja dengan lebih baik dan kemas.

Beliau berkata hasil daripada kertas kerja tersebut, beliau menerima beberapa geran daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

“Selain mengajar membuat kertas kerja, saya juga mengikuti kelas disediakan NADI untuk membuka perniagaan dalam talian menerusi aplikasi e-dagang seperti Shopee dan Lazada.

“Hasil daripada tunjuk ajar kakitangan NADI, saya kini mampu membuka dua kedai secara fizikal di Simpang Ampat, Alor Gajah dan berjaya menambah pendapatan ke lima angka setiap bulan,” katanya yang tinggal di Taboh Naning.

Justeru beliau menyeru agar peniaga dalam talian mahupun fizikal untuk mendapatkan khidmat nasihat di NADI bagi meningkatkan pengetahuan dan ilmu sekali gus menjana pendapatan lebih baik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan