EKONOMI

MEMACU MALAYSIA AIRPORTS KE PERINGKAT LEBIH TINGGI, MEMPERKUKUH KESALINGHUBUNGAN UNTUK PERTUMBUHAN MAMPAN JANGKA PANJANG

26/05/2024 01:24 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Perbincangan dan pendapat yang diutarakan berhubung penswastaan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah menarik perhatian industri dan orang ramai.

Usaha ini diterajui oleh Gateway Development Alliance (GDA), sebuah konsortium yang merancang untuk memanfaatkan kepakaran secara kolektif bagi menambah baik infrastruktur lapangan terbang negara, memastikan pertumbuhan mampan jangka panjang dan perkhidmatan yang lebih baik untuk para penumpang dan syarikat penerbangan.

Potensi penambahbaikan yang diketengahkan oleh konsortium tersebut akan memberi manfaat kepada MAHB yang merupakan syarikat utama dalam rangkaian lapangan terbang Malaysia.

Langkah mengutamakan penyelenggaraan, peningkatan infrastruktur dan kesalinghubungan yang dipertingkatkan, GDA mensasarkan supaya para penumpang akan menikmati pengalaman perjalanan yang unggul dan pilihan destinasi yang lebih meluas di masa hadapan.

Penambahbaikan sedemikian bukan sahaja dijangka meningkatkan trafik penumpang malah juga memberikan impak positif yang ketara kepada ekonomi dan rakyat Malaysia.

Bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut mengenai urus niaga tersebut, kami telah menemu bual Pengarah Urusan Khazanah Nasional Datuk Amirul Feisal Wan Zahir dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Ahmad Zulqarnain Onn, dua entiti utama Malaysia yang akan memiliki 70 peratus pegangan dalam GDA.

Melalui perspektif mereka, kami berhasrat untuk memahami cara urus niaga ini dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada MAHB, malah juga kepada negara.

 

Keperluan untuk Perubahan

 

1. Boleh anda jelaskan mengapa urus niaga ini perlu dilaksanakan dan mengapa sekarang?

Amirul Feisal: Malaysia mempunyai potensi untuk benar-benar meningkatkan kesalinghubungan penerbangannya tetapi pada masa ini, ia belum mencapai tahap yang sepatutnya. Sebelum pandemik melanda, pertumbuhan bagi kemasukan pelancong ke Malaysia dalam tempoh 10 tahun hanya sekitar 1.0 peratus setahun, jauh di belakang negara-negara jiran yang berkembang pada kira-kira 8.0 peratus setahun (perbandingan yang tidak termasuk pelancong yang melakukan perjalanan harian).

Walaupun kita menyediakan perkhidmatan yang baik untuk segmen penerbangan jarak dekat berbanding dengan negara-negara jiran seperti Singapura dan Thailand, segmen penerbangan jarak jauh masih ketinggalan. Tahun lalu, Kuala Lumpur hanya mempunyai 22 laluan jarak jauh, manakala Singapura dan Thailand masing-masing mempunyai 40 dan 55.

Rantau ini berada di kedudukan yang baik untuk pertumbuhan penumpang jangka panjang di mana Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mengunjurkan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 4.5 peratus dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Walau bagaimanapun, kita berisiko untuk ketinggalan kerana negara-negara lain serantau telah melabur secara agresif untuk menambah baik lapangan terbang mereka dalam tempoh lima tahun lalu (Thailand: RM6.6 bilion, Indonesia: RM12.0 bilion) berbanding MAHB (RM1.4 bilion). Terdapat keperluan mendesak bagi MAHB untuk menambah baik perkhidmatan mereka dan melabur untuk memastikan Malaysia kekal berdaya saing, dalam keadaan di mana negara serantau telah melabur untuk meningkatkan taraf pintu masuk ke hab ekonomi mereka. Kita telah membiarkannya terlalu lama dan daya saing negara boleh tergugat.

Kita perlu meningkatkan kesalinghubungan, yang merupakan salah satu bidang tumpuan utama bagi Strategi Khazanah untuk Malaysia bagi tahun 2024. Tidak dinafikan lapangan terbang memainkan peranan amat penting untuk ekonomi kita dan keterkaitan antara lapangan terbang ini dapat membantu mempromosikan lebih banyak perniagaan, pelancongan dan kargo. Lapangan terbang kita perlu berdaya saing di peringkat serantau bagi menyokong operasi syarikat penerbangan sedia ada dan untuk menarik lebih banyak syarikat-syarikat penerbangan. Untuk melaksanakannya, kita perlu melabur.

 

Ahmad Zulqarnain: Sebuah konsortium, yang dianggotai oleh para pelabur utama dan dana yang besar, serta menawarkan kemahiran dan kepakaran yang diperlukan, akan membantu Malaysia bersaing di rantau ini dengan menyokong pelbagai inisiatif untuk menambah baik lapangan terbang di negara kita dan menambah baik kesalinghubungan negara.

Pada masa yang sama, ini merupakan pelaburan jangka panjang yang menarik, mengambil kira sifat stabil aset infrastruktur yang menjana aliran tunai secara konsisten serta pertumbuhan berterusan bagi bilangan penumpang seperti yang dijangkakan, yang selari dengan objektif pelabur kewangan seperti KWSP.

 

2. Apakah rasional di sebalik rancangan untuk menswastakan MAHB?

Amirul Feisal: Melalui langkah penswastaan, kami dapat memperkemas struktur pegangan saham, yang akan memudahkan empat pemegang saham iaitu Khazanah, KWSP, ADIA dan Global Infrastructure Partners (GIP) untuk menyelaraskan strategi dan bekerjasama rapat dengan Kerajaan, yang terus mengekalkan pemilikan saham khas. Keputusan strategik boleh dibuat dengan lebih cekap dan tepat pada masanya walaupun untuk keputusan pelaburan jangka panjang. Ini akan membantu pengurusan MAHB untuk memberi tumpuan kepada meningkatkan daya saing dalam pasaran.

 

Memastikan Kesesuaian dan Kepakaran Kolektif yang Tepat

 

3. Mengapa syarikat Malaysia tidak dipertimbangkan untuk melaksanakannya, sebaliknya entiti asing pula dipilih?

Amirul Feisal: Dalam industri ini, hampir semua lapangan terbang sedang dikendalikan oleh MAHB. Oleh itu, pengalaman dalam mengendalikan lapangan terbang Malaysia sudah ada dalam MAHB yang ketika ini melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik. Walau bagaimanapun, rakan kongsi teknikal antarabangsa yang mempunyai kepakaran dan dorongan untuk melakukan penambahbaikan dapat bekerjasama dan melengkapi usaha pihak pengurusan bagi melaksanakan amalan terbaik bertaraf antarabangsa. Ini membolehkan MAHB meningkatkan lagi tahap perkhidmatan mereka.

 

4. Mengapa anda membenarkan entiti asing memiliki aset strategik Malaysia dan bagaimana kepentingan negara akan dilindungi?

Amirul Feisal: Ada anggapan bahawa kami menjual MAHB, tetapi itu tidak benar malah, Khazanah tidak menjual  sebarang pegangan dalam MAHB. Sebaliknya, kami sebenarnya merancang untuk meningkatkan pegangan kami daripada kira-kira 33 peratus kepada 40 peratus.

 

Ahmad Zulqarnain: Khazanah dan KWSP akan bersama meningkatkan saham kolektif kami dalam MAHB daripada kira-kira 41 peratus kepada 70 peratus selepas tawaran ini. Penyertaan pelabur antarabangsa seperti ADIA dan GIP sebenarnya menggantikan pelabur jangka pendek, yang ketika ini sudah berada pada paras 27 peratus, dengan pelaburan dana yang lebih bersifat jangka panjang.

Urus niaga ini, dari satu segi, akan memastikan lapangan terbang kita kembali berada di bawah kawalan pelabur Malaysia sebaik sahaja ia dinyahsenarai. Pegangan saham asing dalam MAHB di Bursa Malaysia pernah meningkat setinggi 45 peratus pada 2018. Tambahan pula, kepentingan Malaysia dilindungi dengan baik. Kerajaan akan mengekalkan pemilikan saham khas dan wakil mereka akan dilantik ke lembaga pengarah MAHB, dan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif akan terus dilantik dari kalangan rakyat Malaysia.

 

5. Mengapa Global Infrastructure Partners (GIP) dipilih dan apakah peranan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA)?

Amirul Feisal: Ini adalah persoalan yang bermain di fikiran orang ramai di luar sana. Sebelum saya menjawab, izinkan saya menjelaskan sedikit konteks. Rakan kongsi konsortium kami ialah ADIA dan GIP, di mana kedua-duanya membentuk entiti milik bersama untuk menyertai konsortium ini. Secara bersama, mereka akan memegang pegangan sebanyak 30 peratus manakala di pihak Malaysia, Khazanah dan KWSP, akan memegang majoriti 70 peratus kepentingan. Secara khususnya, ADIA akan memegang kepentingan 5.0 peratus manakala 25 peratus oleh GIP.

ADIA dan GIP membawa nilai tambah ke dalam konsortium ini.

Dalam pemilihan GIP, kami telah melaksanakan satu proses penilaian yang menyeluruh, melibatkan para pengendali lapangan terbang antarabangsa terkemuka. Adalah penting untuk rakan kongsi kami mempunyai rekod prestasi yang kukuh dalam penciptaan nilai, melebihi apa yang boleh dicapai oleh pengurusan lapangan terbang sedia ada. Walaupun pasukan MAHB telah mencatatkan pelbagai kejayaan dalam membawa masuk syarikat-syarikat penerbangan baharu dan menambah baik perkhidmatan, kita harus akui bahawa sentiasa ada ruang untuk penambahbaikan. Mengikut pemahaman saya, lapangan terbang Edinburgh, Gatwick, Sydney dan London City sudah beroperasi pada tahap yang baik, sebelum penglibatan GIP. Walau bagaimanapun, pelaksanaan teknik pengurusan lapangan terbang dan amalan terbaik yang dibawa oleh GIP telah meningkatkan lagi prestasi lapangan terbang berkenaan. Seperkara lagi yang penting, pilihan rakan kongsi juga perlu selaras dengan objektif kami. Perbincangan dengan GIP ini telah bermula agak lama kerana kami merasakan mereka adalah pilihan yang paling sesuai. Yang penting GIP, seperti kebanyakan dana Ekuiti Persendirian yang lain, pada akhirnya akan melepaskan pegangannya selepas peningkatan nilai dicapai.

ADIA adalah salah satu dana kekayaan negara terbesar di dunia, yang dapat meningkatkan kekuatan kewangan yang ketara kepada kumpulan kami. Mereka mempunyai pengalaman yang luas dalam pelaburan berkaitan sektor ini dan dalam menyokong pertumbuhan lapangan terbang, seperti yang mereka lakukan bersama GIP dalam lapangan terbang Gatwick di UK. Penglibatan mereka juga menunjukkan bahawa pelabur antarabangsa mempunyai keyakinan terhadap negara kita. ADIA teruja dengan peluang untuk melabur di Malaysia, dipacu oleh pertumbuhan ekonomi di rantau ini. Mereka berkongsi strategi yang sama dengan ahli konsortium lain, untuk memberi tumpuan kepada penciptaan nilai jangka panjang.

 

Ahmad Zulqarnain: KWSP akan hanya memilih untuk bekerjasama dengan pihak-pihak yang mempunyai rekod prestasi yang terbukti. Kami yakin bahawa GIP berupaya mengetengahkan idea dan strategi yang inovatif untuk meningkatkan pengalaman para penumpang. Ini termasuk peningkatan aliran penumpang, tawaran makanan dan minuman yang dipertingkatkan serta kawalan keselamatan dan imigresen yang lebih cekap. GIP telah berjaya memenuhi aspek-aspek ini. Dengan kepakaran yang ada pada GIP, kami menjangkakan penciptaan pengalaman perjalanan yang tiada tandingan dan memenuhi piawaian antarabangsa tertinggi.

Lapangan Terbang Edinburgh adalah contoh yang jelas. Sejak GIP mengambil alih pada tahun 2012, bilangan penumpang telah melonjak daripada 9.2 juta kepada 14.4 juta pada tahun 2023, dan yang paling penting, bilangan destinasi telah meningkat sebanyak 141 kepada 225. Bandingkan dengan Lapangan Terbang Glasgow, yang menyaksikan trafik penumpang meningkat daripada 7.2 juta kepada hanya 7.4 juta dalam tempoh yang sama.

Lapangan Terbang Sydney di bawah kendaliannya berjaya mengurangkan masa menunggu untuk pemeriksaan keselamatan melebihi 60 peratus, iaitu bersamaan 11 minit. Di Gatwick, GIP menyelesaikan penggantian tren mereka (model dan panjang trek yang sama seperti Aerotrain KLIA) dalam tempoh 10 bulan dan meningkatkan kadar memproses penumpang daripada 220 kepada 550 penumpang sejam. Ini membolehkan Gatwick meningkatkan trafik penumpangnya sebanyak tambahan sembilan juta sejak GIP mengambil alih, walaupun terdapat kekangan dari segi saiz tanah. Ini penting bagi Konsortium kita kerana kepakaran sebegini mampu memberi impak yang ketara kepada MAHB, terutamanya kerana kita bersaing dengan lapangan terbang di Singapura, Thailand dan Indonesia, masing-masing dengan kelebihan mereka sendiri.

Harga tawaran yang telah diumumkan adalah melebihi paras tertinggi harga saham MAHB sepanjang masa.

 

Menerangkan Perkaitan

 

6. Siapa BlackRock dan apakah hubungan GIP dengan BlackRock?

Amirul Feisal: BlackRock merupakan pengurus dana terbesar di dunia, dengan aset di bawah pengurusan berjumlah US$10.5 trilion. Pelaburan mereka merangkumi pelbagai jenis aset. Sebahagian besar portfolio BlackRock dikhususkan untuk pelaburan berkaitan indeks yang pasif, yang bermaksud mereka memegang saham dalam hampir semua syarikat tersenarai awam di seluruh dunia -- ini termasuk gergasi teknologi seperti Apple, Facebook dan Google. Dana BlackRock mempunyai pegangan dalam saham Bursa Malaysia yang bernilai sekitar RM20.5 bilion dan kira-kira RM6.9 bilion dalam bon kerajaan dan korporat Malaysia.

GIP pula adalah sebuah dana infrastruktur. Pada asasnya, mereka menguruskan dana daripada pelbagai pelabur di seluruh dunia, sama seperti nama besar lain dalam industri seperti TPG, KKR dan Macquarie, sebagai contoh. Baru-baru ini, BlackRock menyatakan minat untuk meningkatkan keupayaan dana infrastruktur mereka sendiri dengan rancangan untuk mengambil alih GIP, secara tidak langsung mengiktiraf kepakaran GIP dalam bidang tersebut. Bagaimanapun, pada pengetahuan saya, perjanjian mereka masih belum dimuktamadkan. Mengenai Gateway Development Alliance, kami ingin menjelaskan bahawa rakan kongsi konsortium langsung kami ialah ADIA dan GIP, bukannya BlackRock.

 

7. Bagaimanakah rakyat dan Malaysia akan mendapat manfaat daripada urus niaga ini?

Amirul Feisal: Konsortium mempunyai rancangan untuk mengemudi MAHB ke arah pertumbuhan jangka panjang yang mampan. Kami akan menumpukan usaha untuk bertumpu kepada menyelenggara dan menaik taraf infrastruktur lapangan terbang, meningkatkan tahap perkhidmatan penumpang dan menambah baik kesalinghubungan syarikat penerbangan. Ini semua bertujuan untuk menggalakkan peningkatan trafik penumpang dan meningkatkan jumlah pelancong yang datang ke Malaysia, sekali gus memberi impak positif yang berpanjangan kepada rakyat.

 

Ahmad Zulqarnain: Bagi para pelanggan, syarikat penerbangan dan penumpang, ini dapat menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih menyeronokkan dan operasi yang lancar. Bayangkan keadaan di mana terdapat lebih banyak pilihan runcit dan tempat makan serta lebih banyak destinasi langsung untuk dilawati atau disambungkan. Selain itu, faedah kewangan yang signifikan mampu dicapai berdasarkan potensi pulangan daripada pelaburan ini.

 

Meningkatkan Operasi Lapangan Terbang Secara Keseluruhan, Kepuasan Kakitangan dan Pelanggan

 

8. Adakah MAHB akan melalui rasionalisasi, termasuk inisiatif penjimatan kos? Bagaimanakah ini akan mempengaruhi keadaan para kakitangan?

Amirul Feisal: Urus niaga ini bertujuan untuk membawa MAHB ke peringkat seterusnya, bukannya mengurangkan kos operasi. Oleh itu, keutamaan tertumpu pada inisiatif yang melibatkan para penumpang, seperti meningkatkan kesalinghubungan udara, dan memantapkan pengalaman para penumpang secara keseluruhannya.

 

9. Bolehkah anda memastikan tiada pemberhentian kerja di MAHB dan adakah GIP akan mempunyai kawalan pengurusan di MAHB?

Amirul Feisal: Keutamaan kami adalah melindungi hak-hak kakitangan MAHB dan tidak ada rancangan untuk memberhentikan sesiapa. Bagi bahagian kedua soalan anda, GIP tidak akan melantik terus kakitangan atau sebarang wakil ke dalam pengurusan MAHB. Sebaliknya,  sebarang lantikan dalam pengurusan akan dibuat secara bersama oleh Konsortium dan kami akan memanfaatkan kepakaran teknikal GIP apabila diperlukan. Kami ingin meyakinkan semua bahawa hak kakitangan MAHB sedia ada akan dilindungi sepenuhnya, tanpa ada rancangan pemberhentian. Para kakitangan pula akan mendapat manfaat daripada perkongsian pengetahuan dengan pakar-pakar bertaraf global.

 

Amirul Feisal dan Ahmad Zulqarnain mengakui apabila MAHB memulakan perjalanannya di bawah naungan GDA, cabaran yang akan dilalui adalah besar namun, juga berpotensi untuk memberi pulangan yang besar.

Tumpuan strategik untuk meningkatkan infrastruktur, menambah baik kesalinghubungan dan memantapkan pengalaman penumpang adalah selari dengan wawasan pertumbuhan dan kemakmuran negara yang menyeluruh.

Cadangan penswastaan MAHB bukan sekadar membawa perubahan semata-mata malah juga melambangkan satu langkah penting ke arah merealisasikan rangkaian lapangan terbang yang lebih moden, cekap dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Tindakan yang tuntas perlu diambil sekarang supaya Malaysia tidak ketinggalan berbanding negara serantau.

Usaha kerjasama Konsortium dan pihak-pihak berkepentingan ini juga membuka jalan ke arah masa depan yang lebih cerah dan lebih terhubung bagi sektor penerbangan Malaysia.

Menerusi perancangan dan pelan strategik yang akan dilaksanakan, masa depan MAHB dan seluruh industri penerbangan Malaysia akan menjadi lebih cemerlang, didorong oleh visi kecemerlangan dan inovasi yang dikongsi bersama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan