AM

PROGRAM MFLS BERJAYA LATIH 82,362 PESERTA SEJAK 2019

26/05/2024 10:38 AM

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Program Malaysia Future Leaders School (MFLS) berjaya melatih sebanyak 82,364 peserta sejak diperkenalkan pada Mei 2019, kata Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Mohd Haswandi Ahmad.

Beliau berkata pada tahun ini, 20,901 peserta telah mengikuti program MFLS Tier 1 di peringkat sekolah dan daripada jumlah itu 6,810 peserta dipilih untuk mengikuti MFLS Tier 2 yang dilaksanakan di Pusat Latihan Kenegaraan milik AKM di seluruh negara.

“Bagi saringan untuk ke program MFLS Tier 3 pula, sebanyak 684 peserta telah menghadirinya dan hanya 150 peserta yang terbaik dipilih ke MFLS Tier 3 (untuk mengikuti latihan) selama 15 hari bermula 12 hingga 26 Mei (esok),” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam bersama Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam bersempena Majlis Penutup dan Citrawarna MFLS Tier 3 Tahun 2024 di Pusat Belia Antarabangsa di sini hari ini. 

MFLS Tier 3 bertujuan melahirkan belia sebagai rakan strategik dalam pembangunan negara serta berkeupayaan di peringkat antarabangsa dengan berpaksikan tujuh elemen iaitu kepimpinan, kenegaraan, pembentukan watak dan jati diri, keusahawanan, kesukarelawanan, komunikasi dan pengantarabangsaan. 

Program MFLS Tier 3 itu juga memberi pengalaman kepada peserta untuk bertemu dengan pemimpin negara antaranya Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Menteri dan Timbalan Menteri. 

Mohd Haswandi berkata kesemua 150 peserta MFLS Tier 3 itu akan disaring sekali lagi untuk dipilih menjadi 25 orang yang terbaik bagi mengikuti program MFLS Go Global yang akan dilaksanakan pada September atau Oktober tahun ini.

MFLS Go Global merupakan program yang dilaksana bagi melengkapkan elemen pengantarabangsaan di dalam program MFLS Tier 3 yang bertujuan memberi pendedahan secara langsung melalui pengalaman menyertai dan melaksanakan program belia di peringkat antarabangsa. 

“Platform ini juga digunakan bagi memberi peluang kepada peserta untuk membina rangkaian perhubungan antara belia di luar negara. Negara yang telah dihadiri menerusi MFLS Go Global ini antaranya ialah Dubai (Emiriah Arab Bersatu), Korea Selatan dan Turkiye,” katanya. 

Beliau turut berharap agar peserta MFLS Tier 3 Tahun 2024 dapat menyahut seruan Malaysia MADANI untuk menjadi pemimpin yang terbaik demi masa depan negara. 

MFLS dilancarkan pada 3 Mei 2019 melalui Institut Kecemerlangan dan Pembangunan Kepimpinan (i-LEAD) di bawah Kementerian Belia dan Sukan dan pada 1 Jan lepas, i-LEAD dikenali sebagai AKM di bawah tanggungjawab Pejabat Perdana Menteri. 

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan