AM

GKMM SATU LAGI PENCAPAIAN SIGNIFIKAN SEMPENA SAMBUTAN HARI WARTAWAN NASIONAL - FAHMI

25/05/2024 11:19 PM

KUCHING, 25 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyifatkan penubuhan Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) sebagai satu lagi pencapaian yang signifikan susulan pelaksanaan Hari Wartawan Nasional (HAWANA).

Beliau berkata penubuhan gabungan itu, membabitkan 14 kelab media seluruh Malaysia, amat signifikan dengan sambutan HAWANA yang bertujuan mengiktiraf peranan dan tanggungjawab profesion wartawan.

Fahmi berkata GKMM juga wajar melaksanakan mesyuarat agung tahun (AGM) pada setiap kali penganjuran HAWANA kerana ia menghimpunkan pengamal media dari seluruh Malaysia.

“Bagi saya (penubuhan GKMM) memang kena pada tempatnya dan tepat pada masanya kerana dalam edisi HAWANA tahun ini, kita bercakap tentang kelestarian.

“Dengan adanya GKMM yang dapat membantu menyelaras kelab-kelab di semua negeri di Malaysia, kita akan dapat memberi perhatian sama ada kepada isu-isu kebajikan atau isu-isu yang dihadapi oleh pengamal media di negeri masing-masing,” katanya pada sidang media selepas pelancaran GKMM di sini malam ini.

Fahmi turut mengumumkan peruntukan permulaan RM20,000 kepada GKMM untuk melaksanakan aktiviti dan programnya.

Beliau berkata GKMM juga dilihat boleh menjadi rakan strategik Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai pengelola Tabung Kasih @HAWANA dalam membantu pengamal media yang memerlukan atau ditimpa musibah.

Fahmi berkata Kementerian Komunikasi turut melihat terdapat ruang untuk GKMM terlibat dalam memuktamad Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia yang kini di peringkat akhir sebelum dibentang di Parlimen pada Oktober ini.

“Pada waktu ini, pasukan protem Majlis Media telah terbentuk dan ada jawatankuasanya, (jadi) kita (kementerian) tidak campur dalam urusan itu.

“... memandangkan kita dalam fasa akhir sebelum kita bawa rang undang-undang itu ke Parlimen, saya rasa ada ruang untuk kita libatkan GKMM sama seperti badan-badan lain seperti NUJ (Kesatuan Kebangsaan Wartawan) dan MPI (Institut Akhbar Malaysia) supaya suara pengamal media dapat kita kumpulkan dalam Majlis Media Malaysia nanti,” katanya.

HAWANA 2024 berlangsung selama tiga hari mulai hari ini dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan kemuncak sambutan pada Isnin.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan