SUKAN

Masters Malaysia: Pearly-thinaah Tersungkur Di Separuh Akhir

25/05/2024 09:04 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah gagal dalam usaha mengakhiri kemarau memenangi sebarang gelaran selama 18 bulan dalam siri Jelajah Dunia apabila terkandas di separuh akhir Masters Malaysia hari ini.

Pasangan ranking ke-13 dunia yang kali terakhir menjulang kejuaraan Terbuka Perancis pada Okt 2022, dikejutkan dengan kekalahan  di tangan beregu ranking ke-26 dari Korea Selatan, Lee Yu Lim-Shin Seung Chan 16-21, 11-21 selepas bertarung selama 45 minit di Axiata Arena di sini.

Menanti Lee-Shin di final esok ialah pilihan utama Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dari Jepun yang menewaskan Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva dari Bulgaria 21-14, 21-16 dalam satu lagi separuh akhir.

 Naib juara edisi lepas Pearly-Thinaah, yang telah menewaskan lawan Korea Selatan itu pada satu-satunya pertemuan mereka sebelum ini di Masters Kumamota di Jepun tahun lepas, berkata peningkatan kelajuan pukulan lawan telah memberi tekanan.

“Secara fizikal semuanya baik, cuma dari segi strategi yang perlu kami usahakan. Kami teruja untuk kembali semula ke gelanggang kerana sudah lama tidak menyertai kejohanan sejak Kejohanan Asia awal April lalu.

“Meskipun tewas tetapi masih ada perkara positif yang mana tahap komunikasi antara mereka di gelanggang kini lebih baik, “kata Pearly.

Sementara itu, Thinaah berkata mereka perlu lebih fokus menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Selepas ini, pemenang emas Sukan Komanwel Birmingham 2002 itu akan mengalih tumpuan menghadapi Terbuka Singapura yang bermula Selasa ini diikuti Terbuka Indonesia di Jakarta, minggu depan.

Dalam pada itu, ementara itu, juara perseorangan wanita dua kali (2013, 2016) PV Sindhu hanya selangkah untuk menamatkan kemarau gelaran dua tahun apabila berdepan penyandang juara Asia dan pilihan kedua Wang Zhi Yi dari China, esok.

Sindhu, ranking ke-15 dunia, kali terakhir menjuarai Terbuka Singapura pada Julai 2022, bangkit daripada ketinggalan untuk menyingkirkan Busanan Ongbamrungphan dari Thailand 13-21, 21-16, 21-12 pada separuh akhir manakala Zhi Yi menumpaskan rakan senegaranya. Zhang Yi Man 21-19, 21-11.

Juara dunia 2019 dari India itu berkata menamatkan kemarau kejuaraan esok adalah penting dalam meningkatkan keyakinannya menjelang Sukan Olimpik Paris selepas menewaskan Zhi Yi dua kali dalam tiga pertemuan mereka sebelum ini.

“Saya berharap untuk memenangi kejuaraan ini buat kali ketiga, tetapi tidak boleh terlalu yakin kerana Zhi Yi adalah pemain yang sangat bagus. Penonton sangat hebat hari ini, mereka bersorak untuk saya, saya sangat berterima kasih kepada mereka, harap sokongan yang sama akan ada esok,”katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan