AM

Jururawat Tidak Sangka Mangsa Kemalangan Sepupu Sendiri

25/05/2024 08:03 PM

TAIPING, 25 Mei (Bernama) -- Seorang jururawat tidak menyangka tugasan membantu merawat mangsa kemalangan maut di KM262.5, Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara dekat Changkat Jering di sini semalam, melibatkan sepupu sendiri. 

Normahlina Mohd Nor, 45, yang bertugas di Klinik Kesihatan Ayer Tawar berkata menerusi panggilan diterima, kemalangan itu melibatkan sembilan mangsa cedera.

"Sejurus tiba di lokasi, saya terus dapatkan tiga kanak-kanak dan berikan rawatan disebabkan mereka cedera parah. Terdapat seorang lelaki warga emas tersepit (di dalam kenderaan) dan diberikan bantuan oleh bomba manakala isterinya meninggal dunia di lokasi.

"Lokasi kejadian sangat gelap dan pada waktu itu saya masih tidak dapat mengenali bahawa seorang daripada mangsa yang dirawat ialah sepupu yang paling rapat sejak dari kecil iaitu Mohd Fahimi Shaffie,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Taiping di sini hari ini.

Normahlina berkata dia hanya mengetahui antara mangsa yang dirawat itu merupakan sepupunya dan anak saudaranya, sebaik dia tiba di Unit Kecemasan Hospital Taiping.

Sementara itu, ibu Mohd Fahimi, Norzarina Ibrahim, 64, berkata anak ketiga daripada empat beradik itu dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Batu 8, Trong dekat sini, berikutan cuti persekolahan.

"Saya memang menunggu dia (Mohd Fahimi) sekeluarga pulang lagipun kerana mahu buat persiapan terakhir dan hendak hantar saya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bagi menunaikan haji minggu depan.

"Hajat dia hendak hantar itu tidak lepas dan saya reda dengan kejadian ini. Dia anak yang baik dan lembut," katanya. 

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, Mohd Fahimi, 36, yang merupakan guru Pendidikan Islam Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bagan Datuk dan isterinya, Nor Aserah Ismail, 36, guru Kelas Al-Quran dan Fardu 'Ain (KAFA) meninggal dunia dalam nahas membabitkan tiga kenderaan termasuk Proton Bezza milik mereka.

Dua anak lelaki mangsa berusia lapan dan empat tahun menerima rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh akibat kecederaan parah manakala anak perempuan berusia enam tahun dilaporkan berada dalam keadaan stabil. 

Seorang penumpang kereta jenis Honda Civic, Haminah Majid, 73, pula disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya yang memandu kenderaan itu, seorang wanita berusia 29 tahun yang merupakan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta dua anaknya berusia lima dan setahun mengalami kecederaan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan