AM

MOTAC TERENGGANU KELUAR ENAM NOTIS DALAM OP PENGUATKUASAAN BAS PERSIARAN

25/05/2024 07:46 PM

KUALA TERENGGANU, 25 Mei (Bernama) -- Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Terengganu mengeluarkan enam notis dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Kenderaan Persiaran, selama dua hari bermula semalam.

Pengarahnya Mazshida Ruslal berkata notis tersebut dikeluarkan atas dua kesalahan, iaitu menggunakan kenderaan yang tidak dilesenkan sebagai bas pesiaran, serta mengatur dan mengendalikan rombongan pelancongan tanpa lesen agensi pelancongan yang sah.

Beliau berkata notis tersebut dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 35 buah kenderaan termasuk van, bas ekspres, bas catar, bas sekolah dan bas persiaran, di sembilan lokasi yang menjadi persinggahan serta tumpuan pelancong.

“Operasi bersepadu ini disertai oleh 46 penguat kuasa MOTAC, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Operasi menyasarkan kesalahan mengikut Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) serta Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999 (Akta 594), bagi menjamin keselamatan pelancong,” katanya ketika ditemui pada Op Penguatkuasaan Bersepadu Kenderaan Persiaran di Muzium Negeri Terengganu, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Mazshida berkata selain mengesan kesalahan pelancongan, operasi itu juga bertujuan memastikan semua penggiat dan agensi pelancongan mematuhi garis panduan serta peraturan yang ditetapkan.

Beliau berkata hampir setiap hari, pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai pelanggaran terhadap peraturan dan undang-undang akta industri pelancongan.

“Banyak aduan yang kita terima mengenai ketiadaan pemandu pelancong yang menjadi satu kesalahan. 

“Perkara ini boleh dikecualikan dengan syarat bas persiaran tersebut memohon dengan MOTAC. Bagaimanapun, ramai pengendali bas persiaran yang malas memohon dan mengambil mudah perkara ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan