AM

IRVINA "TERJAH" PROGRAM JELAJAH HAWANA SISWA, MAHU DAPAT ILMU BERKAITAN KEWARTAWANAN

25/05/2024 04:42 PM

KUCHING, 25 Mei (Bernama) -- Namanya tidak tersenarai dalam 250 penuntut yang dijadual menghadiri Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa, namun demi mendapatkan ilmu berkaitan kewartawanan Irvina Joan sanggup “menerjah” ke program tersebut hari ini. 

Penuntut  Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu, Melaka itu berkata ia bermula apabila terlihat hebahan mengenai program berkenaan beberapa bulan lepas sekali gus 'menjentik' hatinya untuk datang bagi menimba pengalaman berharga yang boleh digunakan dalam industri kelak. 

Kebetulan cuti semester dan mahasiswi berusia 22 tahun itu kini berada di kampung halamannya di Kota Samarahan, kira-kira 45 minit dari Pustaka Negeri Sarawak di sini, jadi kesempatan tersebut digunakan untuk hadir program hari ini yang dirasmikan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil. 

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata dia datang seawal 7.30 pagi dan mencuba nasib dengan bertanyakan pihak urus setia sekiranya boleh menyertai program tersebut sekali gus menjadi satu-satunya penuntut UiTM yang menghadiri Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa. 

“Saya yakin tidak akan pulang dengan tangan kosong kerana program ini amat berguna untuk saya khususnya pelajar kewartawanan mempelajari ilmu berkaitan isu kewartawanan semasa dan paling menarik perhatian ialah cara menggunakan telefon pintar untuk menyampaikan berita dengan lebih berkesan,” katanya. 

Irvina yang berminat menjadi wartawan gaya hidup berkata ilmu berkaitan Mobile Journalism (MoJo) yang merangkumi teknik penggambaran, sudut bersesuaian, peralatan dan teknologi amat berguna dalam membantu menarik lebih ramai pengikut yang gemarkan maklumat berbentuk visual serta penceritaan. 

Selain penuntut pengajian komunikasi massa, program hari ini turut menarik minat pelajar jurusan lain untuk sama-sama mendengar kisah dan cerita daripada wartawan sebenar, antaranya penuntut Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Muhammad Luqman Hakim Mat Yusoff.

Muhammad Luqman, 23, yang bercita-cita menjadi wartawan berita antarabangsa berkata walaupun mengikuti pengajian dalam bidang Hubungan Antarabangsa, dia melihat profesion wartawan boleh digunakan sebagai batu loncatan untuk menyebarkan maklumat berkaitan isu global. 

“Saya sangat suka berkongsi ilmu mengenai hubungan antarabangsa dan menjadi seorang wartawan begitu dekat dengan personaliti saya kerana ia membolehkan saya mendapat serta menyampaikan maklumat secara sahih,” katanya yang berhasrat membuat latihan industri di Bernama. 

Anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan itu berkata kehadirannya ke program hari ini bagi menimba sebanyak mungkin ilmu berkaitan kewartawanan selain mahu berinteraksi sendiri dengan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil. 

Terdahulu, dalam sesi dialog bersama Menteri Komunikasi, Muhammaq Luqman turut menarik perhatian semua yang hadir apabila melontarkan soalan berkaitan tindakan diambil kerajaan susulan kedudukan Malaysia di tangga 107 dalam Indeks Kebebasan Media seperti laporan Wartawan Tanpa Sempadan.

Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa merupakan antara pengisian sambutan HAWANA tahun ini dengan penglibatan 250 mahasiswa dari UNIMAS, Swinburne University of Technology Sarawak dan Kolej SEGi Sarawak.

Ia bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar di institusi pengajian tinggi terpilih tentang dunia media melalui sesi perkongsian ilmu dan pengalaman daripada pengamal media, selain menanam minat bidang kewartawanan kepada pelajar dan mengaplikasikannya dalam dunia pekerjaan.

Pada program hari ini, sesi perkongsian ilmu dan pengalaman turut diadakan dengan membincangkan topik berkenaan semak fakta oleh Editor MyCheck Malaysia dan Unit Data Journalism Pertubuhan Berita Nasionlal (Bernama) Sakina Mohamed dan Mobile Journalism (MoJO) oleh Wartawan Kanan Meja Digital Media Bernama Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman selain sesi dialog bersama Menteri Komunikasi. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan