AM

Koarrahman Mahu Jadi Koperasi Aktif

25/05/2024 04:02 PM

KEPALA BATAS, 25 Mei (Bernama) -- Dalam usaha menjadi sebuah koperasi yang bergerak aktif dengan pelbagai program, Koperasi Masjid Ar Rahman Permatang Rambai (KoArRahman) Penaga hari ini menganjurkan satu program larian amal.

Pengarah Program Larian Amal KoArRahman (LAKARun) Zahir Jamaludin berkata program itu yang telah dirancang sejak lima bulan lepas, disertai kira-kira 300 peserta terdiri daripada kariah masjid dan penduduk kawasan sekitar berusia antara tujuh hingga 70 tahun.

“Larian amal ini membabitkan laluan sejauh lima kilometer, bermula di perkarangan masjid melalui kawasan sawah padi dan berakhir di kawasan masjid semula.

“Selain bagi mengumpul dana untuk koperasi, program ini antara lain bertujuan memupuk gaya hidup sihat, mengeratkan ukhuwah dalam kalangan jemaah masjid, mengimarah dan diri dengan masjid, selain merapatkan silaturahim antara ahli koperasi dan penduduk sekita,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Zahir berkata selain itu mereka turut mengadakan acara sampingan iaitu senamrobik dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak serta cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama sebuah basikal lipat.

Beliau berkata pada program hari ini, telah turut diadakan satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (Mou) antara KoArRahman dengan agensi pelancongan TRA Holidays Sdn Bhd, sebagai permulaan kepada kerjasama strategik dalam melaksanakan pelbagai projek, program dan aktiviti yang bakal memanfaatkan koperasi itu.

KoArRahman diwakili oleh Pengerusinya Datuk Mohd Ghazali Hashim, manakala Pengurus Besar TRA Holidays Abdul Jalil Zainol mewakili agensi pelancongan itu.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Publisiti KoArRahman Noraini Tahir berkata agensi itu dipilih kerana ia turut mempunyai cabang perniagaan lain seperti kedai runcit, dobi serta pembuatan roti dan pastri.

“KoArRahman ini didaftarkan pada 2022 dan sebagai sebuah koperasi yang baharu ditubuhkan, kami perlu mencari dana untuk menjalankan perniagaan, jadi untuk permulaan selain menganjurkan larian amal ini, kami turut menandatangani MoU dengan agensi pelancongan.

“Selepas ini kami berharap untuk berkolaborasi dengan lebih banyak pihak berkepentingan lain untuk meningkatkan lagi penglibatan koperasi dalam pelbagai sektor ekonomi, sekali gus membangunkan modal insan yang kompeten dan berdaya keusahawanan seterusnya menjadi sebuah koperasi yang memberi manfaat kepada semua ahli,” katanya.

Noraini berkata buat masa ini koperasi tersebut hanya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan secara dalam talian, antaranya menjual buah-buahan, barangan keperluan asas dan tempahan kek ketika musim perayaan, selain jualan telur masin kepada koperasi lain di sekitar Lembah Klang, kedai runcit dan dobi.

Beliau berkata koperasi itu berharap dengan adanya program yang dirancang, ia akan dapat menjadikan KoArRahman sebagai sebuah koperasi aktif seterusnya menambah lagi bilangan ahli yang kini baru sekitar 100 orang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan