EKONOMI

PERDAGANGAN MALAYSIA-JEPUN DIUNJURKAN MELONJAK TAHUN INI - TENGKU ZAFRUL

25/05/2024 11:20 AM

Daripada Noor Soraya Mohammad Jamal

TOKYO, 25 Mei (Bernama) -- Perdagangan Malaysia dengan Jepun dijangka melonjak tahun ini, didorong oleh pelaburan khususnya dalam sektor semikonduktor dan tenaga boleh baharu, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Jepun menjadi rakan dagang keempat terbesar Malaysia selama sembilan tahun berturut-turut.

“Perdagangan dengan Jepun pada tahun lepas berjumlah kira-kira RM35 bilion. Satu pertiga daripada perdagangan ini melibatkan gas asli cecair (LNG),” katanya kepada pemberita Malaysia di sini.

Beliau berkata Malaysia telah menyediakan bekalan tenaga yang terjamin untuk Jepun dan kini memberi tumpuan kepada tenaga boleh baharu.

Semasa lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun dari 22 hingga 24 Mei, 2024, Malaysia meraih potensi pelaburan bernilai RM1.45 bilion serta potensi eksport RM550 juta daripada pertemuan dengan syarikat Jepun.

Pertemuan itu melibatkan enam syarikat yang sudah beroperasi di Malaysia dan sebuah syarikat yang meninjau untuk melabur di dalam negara.

Tengku Zafrul berkata syarikat yang merancang untuk melabur di Malaysia adalah daripada industri semikonduktor dan namanya akan diumumkan kemudian sementara menunggu kelulusan yang diperlukan.

Syarikat lain pula menyatakan hasrat untuk komited terhadap pelaburan baharu di Malaysia, khususnya dalam tenaga baharu dan boleh baharu, dengan minat di Sabah dan Sarawak.

“Pelaburan dalam tenaga boleh baharu dijangka mencecah RM40 bilion hingga RM50 bilion dalam tempoh sepuluh tahun.

“Banyak syarikat mengeluarkan produk elektrik dan elektronik terutama industri semikonduktor mahukan bekalan tenaga hijau dan melihat potensi di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata kerajaan menerima permintaan insentif cukai daripada syarikat Jepun dan akan menjalankan analisis kos-manfaat sebelum memutuskan sebarang insentif untuk sektor itu.

“Ini melibatkan sektor baharu jadi mereka memerlukan sokongan dari segi subsidi dan insentif cukai. Kerajaan akan menjalankan analisis kos-manfaat sebelum memutuskan sebarang insentif untuk sektor ini,” katanya.

Setakat 2023, sejumlah 2,810 projek pembuatan dengan penyertaan Jepun telah dilaksanakan, dengan jumlah pelaburan bernilai RM102.11 bilion (US$29.67 bilion), mewujudkan 344,120 peluang pekerjaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan