AM

GERAN 'RISE UP' UBAH PENDAPATAN KELUARGA PENIAGA TAUHU GORENG DI TAWAU

24/05/2024 10:23 PM

TAWAU, 24 Mei (Bernama) -- Kecekalan hati seorang suri rumah mahu menambah pendapatan dengan berniaga tauhu goreng dari rumah mengubah nasib keluarganya apabila mampu membuka premis memproses makanan itu dengan bantuan kerajaan, meraih pendapatan bersih minimum RM5,000 sebulan.

Siti Juna, 42, berkata perniagaan tauhu goreng dimulakan dari rumah pada tahun 2018 dengan kapasiti pengeluaran tidak lebih 1,000 biji sehari kerana pada ketika itu proses menghasilkan tauhu goreng itu dilakukan secara manual termasuk memasak menggunakan dapur gas 

"Waktu kita mula itu di rumah di Kampung Pasir Putih, kita mula dengan berkongsi tauhu goreng ini dengan jiran serta kawan-kawan, pada waktu itu mereka beritahu Siti buat (berniaga) lah sebab ketika itu tiada pengeluar tauhu Muslim.

"Tahun 2021, permintaan semakin tinggi, di rumah tidak ada mesin,, saya beranikan diri dengan sokongan suami buka premis sekarang di Megah Jaya ini dengan jenama Hanan Soya...menggunakan mesin kami mula menghasilkan 3,000 tauhu goreng sehari," katanya kepada pemberita selepas menerima lawatan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup di sini hari ini.

Pada 2022, katanya beliau menerima geran pemerkasaan keusahawan peladang (Rise Up) bernilai RM70,000 berbentuk mesin dan bermula dari itu penghasilan tauhu goreng berganda sehingga 7,000 biji sehari dan dijual dengan harga 35 sen sebiji.

"Kita dapat penuhi permintaan peniaga di Tawau  terutama peniaga tauhu begedil di pasar malam, setakat ini. Ada 12 peniaga yang mengambil tauhu goreng kami, permintaan mereka sekali ambil memang 'kaw kaw' sebab ada peniaga ini, satu malam mereka boleh jual begedil tauhu antara 1,000 hingga 1,500 biji dengan harga RM1.10 sebiji.

"Mereka ini juga ada yang turut promosi tauhu Hanan Soya  ini dengan meletak di banner gerai mereka iaitu 'menggunakan tauhu Hanan Soya'," katanya lagi kini turut membuka kedai makan berasaskan tauhu iaitu Kedai Mee Tauhu Hanan di Perdana Jaya

Menurutnya hasil bantuan kerajaan itu, keuntungan perniagaan semakin baik kerana sebelum itu keuntungan yang diperolehi hanya mampu 'back up' untuk kos perbelanjaan sahaja.

Sementara itu, Arthur berkata kisah Siti merupakan satu contoh  kisah kejayaan iaitu melihat bantuan daripada kerajaan berjaya memperkasa usahawan di Sabah.

"Program Rise Up ini membantu usahawan untuk tingkat kapasiti mereka supaya boleh menjadi usahawan dalam sektor agromakanan yang berjaya, apabila saya melawat kedai dan kilang yang dimiliki Siti melalui bantuan itu dia membeli beberapa peralatan untuk meningkatkan pengeluaran produk dia," katanya.

Menurutnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui agensi dibawahnya memiliki banyak program membantu memperkasa usahawan menambah pendapatan termasuk memasarkan produk mereka  bukan setakat  ke peringkat nasional tetapi antarabangsa.

Selain Hanan Soya, Arthur turut membuat lawatan ke projek usahawan Pertubuhan Peladang Kawasan Tawau iaitu Syarikat Nittaku Nita (bakery) di Bandar Sri Indah serta  Syarikat Kek Viral (kek) di Garden city di sini.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan