DUNIA

Niaga Hadapan Msm Ditutup Rendah Berikutan Bimbang Terhadap Pengeluaran Yang Meningkat

24/05/2024 09:59 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah hari ini berikutan jangkaan meningkatnya pengeluaran dalam beberapa minggu akan datang hingga memberi tekanan kepada harga, kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata niaga hadapan MSM juga mengambil petunjuk daripada kejatuhan di pasaran minyak kacang soya Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT).

"Kami mengesan paras sokongan pada RM3,850 satu tan dan paras rintangan pada RM3,950 satu tan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata kontrak niaga hadapan MSM mengetepikan semua kenaikan awalnya selepas anggaran oleh Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) menunjukkan pengeluaran sebanyak 18 peratus pada 20 hari pertama Mei 2024 berbanding tempoh yang sama pada April 2024.

Menurut anggaran MPOA untuk tempoh 1-20 Mei berbanding 1-20 April, pengeluaran minyak sawit Malaysia melonjak sebanyak 18.2 peratus manakala UOB Kay Hian menganggarkan pengeluaran minyak sawit Malaysia untuk tempoh 1-20 Mei meningkat di antara tujuh peratus dan 11 peratus.

“Pasaran menjangkakan pertumbuhan pengeluaran yang kukuh berkemungkinan dalam dua digit peratusan. Ini boleh mendorong kenaikan stok dalam satu bulan lagi dan memberikan tekanan ke bawah terhadap harga,” katanya.

Pasaran kini menunggu data pengeluaran sebenar daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia yang akan dikeluarkan pada setiap 10 haribulan.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Jun 2024 meningkat RM19 kepada RM3,872 satu tan, manakala Julai 2024 dan September 2024 masing-masing turun RM6 kepada RM3,879 satu tan dan RM3,893 satu tan.

Sementara itu, kontrak Ogos 2024 turun RM9 kepada RM3,885 satu tan, Oktober 2024 dan November 2024 masing-masing susut RM3 kepada RM3,903 satu tan dan RM3,918 satu tan.

Jumlah dagangan merosot kepada 58,543 lot daripada 64,859 lot pada Khamis, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 202,898 kontrak daripada 202,777 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Jun Selatan jatuh RM30 kepada RM3,920 satu tan.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan