AM

SISTEM PENGURUSAN BENCANA LEBIH SISTEMATIK MENERUSI MOU UNIKL, HUAWEI

24/05/2024 10:15 PM

Daripada Muhammad Saufee Rosman

SHENZHEN, 24 Mei (Bernama) -- Malaysia dijangka menerima sistem pengurusan bencana lebih sistematik yang menggunakan teknologi baharu sebagai persediaan menghadapi sebarang bencana.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pemindahan teknologi itu direalisasikan menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan syarikat telekomunikasi China, Huawei dalam satu majlis di sini, hari ini.

“Mereka (Huawei) memiliki sistem yang boleh memberikan keberhasilan dalam tempoh kira-kira 30 saat untuk dianalisa dan sebagai tanda amaran awal mengenai keadaan banjir, ribut atau lain-lain.

“(Justeru) Malaysia sangat mendambakan sistem seperti ini kerana kita menghadapi Monsun Timur Laut dan kini Monsun Barat Daya,” katanya kepada media Malaysia selepas menyaksikan majlis tandatangan MoU berkenaan.

Ahmad Zahid kini dalam lawatan rasmi pertamanya ke China sejak memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022 dan lawatan selama 11 hari bermula 22 Mei lepas itu adalah atas jemputan Naib Perdana Menteri China Ding Xuexiang.

Turut hadir dalam majlis MoU itu ialah Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata perbincangan bersama Huawei dalam kunjungannya di ibu pejabat syarikat itu di sini, turut memfokuskan usaha memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berpandukan teknologi terkini, antaranya meliputi kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT) dan sistem robotik.

"Huawei sudah berada di Malaysia selama 23 tahun dan mereka sudah memperkenalkan beberapa teknologi baharu seperti AI iaitu agak baharu di Malaysia, namun kita yakin usaha dilakukan Huawei ini akan dapat memindahkan, bukan sahaja teknologi tetapi ilmu ke negara kita.

"Seterusnya IoT yang juga menjadi bidang tumpuan harus diberi peluang kepada pelajar TVET, mengikuti bidang robotik yang pada hemat saya sudah lama di negara ini (China) tetapi baharu di Malaysia. Ini tentunya (membolehkan) lebih ramai tenaga mengendalikan robotik (dan) sistem ini di negara kita,” katanya.

Beliau berkata selain itu, Huawei akan membuka pusat pentadbiran baharu di Malaysia sekali gus membuktikan komitmen syarikat telekomunikasi itu untuk mewujudkan kira-kira 6,000 peluang pekerjaan baharu dalam sistem 5G mahupun 5GA yang sedang dibawa ke Malaysia.

Sementara menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid memaklumkan Huawei turut menyatakan hasrat mereka untuk menyokong hala tuju kepimpinan digital Malaysia melalui pembangunan bakat dalam bidang tersebut serta membantu untuk bersama-sama menerokai bidang digital dan teknologi sebagai pemangkin ke arah menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

“Saya berharap kerjasama erat Malaysia dengan pihak Huawei akan terus diperhebat  bagi membolehkan Malaysia menyumbang ke arah inovasi teknologi digital, di samping melahirkan lebih ramai tenaga mahir warga tempatan di dalam bidang tersebut,” katanya.

Terdahulu, beliau turut mengadakan lawatan di Huawei Von Neumann Exhibition Hall (Industry and Digital Transformation) dan berpeluang melihat kepelbagaian produk dan teknologi dibangunkan Huawei antaranya merangkumi bidang pendigitalan sistem pentadbiran Kerajaan, Pengurusan Kesesakan Trafik Bandar, Smart City Intelligence, Huawei Cloud, Pusat Kecerdasan Buatan (AI) dan Keselamatan Data.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan