AM

Persekitaran Produksi Sistem Myinvois Dibuka Mulai Hari Ini - Lhdn

24/05/2024 08:08 PM

PUTRAJAYA, 24 Mei (Bernama) -- Persekitaran produksi Sistem MyInvois menerusi Application Programming Interface (API) telah dibuka bagi membolehkan syarikat rintis e-Invois mengeluarkan e-Invois menggunakan data sebenar perniagaan mereka mulai hari ini.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan memaklumkan ia menunjukkan kemajuan terkini ke arah pelaksanaan mandatori e-Invois yang akan bermula pada 1 Ogos depan.

“Oleh itu, syarikat rintis e-Invois boleh mula mengakses kepada persekitaran produksi API Sistem MyInvois setelah memohon Client ID dan Client Secret bagi persekitaran produksi daripada pihak LHDN menerusi e-mel sdkmyinvois@hasil.gov.my,” menurut kenyataan itu.

LHDN memaklumkan akses kepada persekitaran produksi itu antara lain membolehkan syarikat rintis untuk mengurus dan mengeluarkan e-Invois secara terus kepada LHDN menggunakan data produksi (data sebenar perniagaan) untuk memastikan ketepatan maklumat yang dihantar. 

Bagi memastikan proses peralihan lancar ke atas penghantaran e-Invois menerusi persekitaran API, LHDN memaklumkan proses pengesahan tandatangan digital juga tidak diaktifkan buat sementara waktu.

Sebelum ini dilaporkan pelaksanaan fasa pertama e-Invois pada 1 Ogos, terpakai kepada syarikat yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan