AM

JENAZAH ADUN SUNGAI BAKAP SELAMAT DIKEBUMI

24/05/2024 07:59 PM

NIBONG TEBAL, 24 Mei (Bernama) -- Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap Nor Zamri Latiff selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Acheh di sini, pada kira-kira 6.30 petang tadi.

Terdahulu, jenazah Nor Zamri, 56, dimandi dan dikafankan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) sebelum dibawa ke rumahnya yang terletak bersebelahan Masjid Jamek Sungai Acheh.

Solat jenazah di masjid berkenaan diimamkan Naib Presiden PAS Datuk Idris Ahmad dengan disertai kira-kira 1,000 jemaah yang hadir.

Turut hadir memberikan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham ialah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal Fadhlina Sidek, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Mohamad Abdul Hamid dan beberapa Exco Kerajaan Negeri.

Nor Zamri meninggal dunia pada 1.38 tengah hari tadi ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSJ kerana mengalami keradangan dalam perut dan menerima rawatan di situ sejak awal bulan ini.

Allahyarham meninggalkan isteri Musalmah Yusop dan enam anak.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusoff ketika ditemui pemberita berkata Allahyarham disenangi dalam kalangan ahli parti kerana keperibadiannya yang lemah lembut dan senang bekerjasama malah menyifatkan pemergiannya, kehilangan besar bagi PAS.

"Arwah seorang yang suka menolong orang, ringan tulang dan seorang yang suka membuat kebajikan dan menyertai misi menyelamat mangsa banjir kerana dia memang suka tolong orang," kata Muhammad Fauzi yang juga ADUN Sungai Dua itu.

Sementara itu, ADUN Penaga Mohd Yusni Mat Piah berkata Allahyarham merupakan seorang rakan yang baik hati dan sikapnya yang mudah didekati serta suka melawak menyebabkan semua rakan dalam PAS Pulau Pinang amat terasa dengan kehilangan Allahyarham.

Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas menewaskan calon Pakatan Harapan Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 atau 15,433 undian.

-- BERNAMA 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan