AM

BAKI 56 JEMAAH KUMPULAN KT43 BERLEPAS KE TANAH SUCI PETANG TADI

24/05/2024 07:56 PM
Daripada Noor Shamsiah Mohamed @ Ismail

MAKKAH, 24 Mei (Bernama) -- Seramai 56 bakal jemaah haji Malaysia daripada KT43 yang sepatutnya berlepas ke Madinah dengan menaiki penerbangan Saudi Airlines 6.30 pagi semalam, telah dijadualkan semula penerbangan pada 5.35 petang (waktu Malaysia).

Ketua Rombangan Haji Malaysia 1445H Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata bakal jemaah haji itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menaiki pesawat komersial Saudi Airlines bersama dua orang petugas haji. 

"Pesawat yang membawa 58 bakal jemaah haji ini dijangka akan tiba 9.25 malam di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah dan transit selama dua jam sebelum dibawa menaiki penerbangan yang diatur khas oleh Saudi Airlines. Mereka dijangka tiba Madinah pada 12.35 pagi (25 Mei) tengah malam ini (waktu Arab Saudi)," katanya kepada petugas media di Ibu Pejabat TH di sini hari ini. 

Syed Saleh berkata, sebaik tiba kesemua 58 jemaah ini akan ditempatkan di hotel asal mereka di Madinah dan akan diurus secara persendirian dalam tempoh sama iaitu 6 hari 5 malam dan akan berangkat ke Makkah selepas itu dengan kumpulan mereka sahaja. 

Pesawat  yang sepatutnya dinaiki jemaah berkenaan semalam mengalami kerosakan menyebabkan sebuah pesawat gantian telah diterbangkan ke KLIA, namun pesawat gantian itu  hanya mampu memuatkan seramai 298 jemaah berbanding 353 jumlah keseluruhan jemaah kumpulan KT43 dan telah berlepas dari KLIA pada hari yang sama, pukul 10.36 pagi menuju ke Madinah. 

Hal itu menyebabkan TH dan Saudia Arlines mengambil keputusan menempatkan mereka sementara semalam di Hotel Movenpick, Sepang. 

“Laporan yang kami terima pada lewat malam semalam bahawa mereka semuanya dalam keadaan baik dan dilayani dengan baik oleh pihak TH. Tiada sebarang rasa ketidakpuasan hati disuarakan oleh jemaah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan