DUNIA

BURSA MALAYSIA DITUTUP RENDAH SUSULAN PENGAMBILAN UNTUNG

24/05/2024 06:57 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri minggu dagangan dengan ditutup rendah pada hari ini apabila pelabur melakukan pengambilan untung secara sederhana di tengah-tengah kelemahan pasaran serantau, kata seorang peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.78 mata, atau 0.60 peratus, kepada 1,619.40 daripada 1,629.18 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran dibuka lebih rendah, turun 4.22 mata kepada 1,624.96, kemudian mengalami turun naik di antara 1,614.83 dan 1,624.96 sepanjang sesi dagangan pada Jumaat.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 845 berbanding 450, dengan 441 kaunter tidak berubah, 670 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 5.61 bilion unit bernilai RM4.58 bilion berbanding 6.2 bilion unit bernilai RM4.67 bilion pada Khamis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks-indeks serantau utama turut ditutup lebih rendah berikutan penjualan semalaman di Wall Street.

Beliau berkata data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang positif, bersama dengan minit yang agresif dalam mesyuarat terakhir Rizab Persekutuan, mendorong peniaga mengurangkan risiko mereka terhadap pemotongan kadar faedah tahun ini.

"Peralihan jangkaan mengenai kadar AS telah mendorong hasil lebih tinggi, dengan penanda aras hasil 10 tahun mencecah 4.49 peratus semalam," kata Thong kepada Bernama.

Di peringkat serantau pula, Nikkei 225 Jepun susut 1.17 peratus kepada 38,646.11, Indeks Hang Seng Hong Kong jatuh 1.38 peratus kepada 18,608.94, dan Kospi Korea Selatan turun 1.26 peratus kepada 2,687.60.

"Bagi peringkat domestik, indeks petunjuk pasaran telah melanjutkan kenaikkannya, melepasi paras 1,620 buat kali pertama dalam tiga tahun pada Isnin, menandakan ekuiti stabil dan bergerak positif," tambah Thong.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut satu sen kepada RM9.98, Public Bank jatuh tiga sen kepada RM4.17, Tenaga Nasional dan CIMB masing-masing tidak berubah kepada RM13.10 dan RM6.88, manakala Petronas Chemicals naik satu sen kepada RM6.93 .

Bagi saham aktif, AHB Holdings naik dua sen kepada 19 sen, SNS Network meningkat 2.5 sen kepada 65.5 sen, JCY International naik lima sen kepada 45 sen, manakala MY E.G susut dua sen kepada RM1.02 dan YTL Power turun 43 sen kepada RM4.95.

Kalangan kaunter untung pula, Kuala Lumpur Kepong naik 34 sen kepada RM22.20, BLD Plantation meningkat 30 sen kepada RM10.98, Hong Leong Industries melonjak 22 sen kepada RM11.80, Inari Amertron naik 21 sen kepada RM3.44, dan Eurospan menokok 18 sen kepada RM1.70.

Bagi saham paling rugi pula ialah Malaysian Pacific yang susut 66 sen kepada RM38.50, British American jatuh 61 sen kepada RM8.43, Petronas Dagangan turun 52 sen kepada RM19.90, Sam Engineering turun 22 sen kepada RM6.03, dan YTL Corp jatuh 20 sen kepada RM3.68.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas jatuh 65.70 mata kepada 12,353.83, Indeks FBMT 100 susut 64.42 mata kepada 11,948.25, dan Indeks FBM Emas Syariah menyusut 35.42 mata kepada 12,630.75.

Indeks FBM 70 turun 64.48 mata kepada 17,791.95, manakala Indeks FBM ACE naik 25.03 mata kepada 5,544.15.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 72.27 mata kepada 17,688.99, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh 0.80 mata kepada 196.65, dan Indeks Tenaga jatuh 2.43 mata kepada 1,001.53.

Bagaimanapun, Indeks Perladangan mengukuh 4.76 mata kepada 7,302.38.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 3.28 bilion unit bernilai RM4.02 bilion berbanding 3.82 bilion unit bernilai RM3.96 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.26 bilion unit bernilai RM163.70 juta daripada 1.06 bilion unit bernilai RM137.63 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 1.05 bilion saham bernilai RM389.29 juta daripada 1.25 bilion saham bernilai RM572.07 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 597.49 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (584.39 bilion), pembinaan (320.10 juta), teknologi (557.38 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (103.08 juta), hartanah (379.59 juta), perladangan (25.77 juta), REIT (15.97 juta), dana tertutup (26,100), tenaga (270.02 juta), penjagaan kesihatan (141.43 juta), telekomunikasi dan media (50.14 juta), pengangkutan dan logistik (54.7 juta), utiliti (187.81 juta) dan amanah perniagaan (132,400).

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan