SUKAN

KHUZAIMI SEDIA BERAKSI BERTEMU NEGERI SEMBILAN AHAD INI - NIDZAM JAMIL

24/05/2024 06:53 PM

SHAH ALAM, 24 Mei (Bernama) -- Selangor FC tidak mempunyai masalah untuk menggunakan khidmat Ahmad Khuzaimi Piee pada aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan Ahad ini walaupun pemain pertahanan itu baru sahaja diuji dengan kediamannya dipecah masuk kelmarin.

Pengendali Selangor FC Mohd Nidzam Jamil berkata Ahmad Khuzaimi menunjukkan sikap profesionalisme yang tinggi apabila tetap turun berlatih bersama rakan sepasukan selepas kejadian yang menyebabkan pemain itu kehilangan beberapa barangan berharga.

"Jimmy (Ahmad Khuzaimie) seorang yang professional, mampu berfikir secara baik dan saya tak nampak perkara itu mengganggu beliau di padang dan prestasinya jika pasukan memerlukan.

"Semalam pun Jimmy turun latihan seperti biasa…saya ada kepercayaan yang tinggi terhadap beliau dan dia juga mempunyai keyakinan yang dia boleh menangani situasi tersebut," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan Selangor FC di sini hari ini. 

Mohd Nidzam berkata pengurusan Selangor FC mengambil berat keadaan Ahmad Khuzaimi serta keluarganya dan berdasarkan komitmen yang ditunjukkan, beliau tiada masalah meletakkan pemain itu dalam senarai 20 pemain untuk pertemuan dengan Negeri Sembilan nanti.

Sebelum ini, pemain kelahiran Melaka itu berkongsi laporan polis yang dibuatnya melalui akaun media sosial miliknya berhubung kediamannya dipecah masuk ketika beliau keluar menjalani latihan di Pusat Latihan Selangor, pada 22 Mei lalu. 

Dalam kejadian itu, Ahmad Khuzaimi kehilangan sebuah motosikal dan empat beg pelbagai jenama.

-- BERNAMA 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan