AM

BERI PELUANG BEKAS BANDUAN BEKERJA, CEGAH KEMBALI KE PENJARA - RAMANAN

24/05/2024 05:15 PM

SUNGAI BULOH, 24 Mei (Bernama) -- Organisasi di negara ini disaran memberi peluang kedua kepada bekas banduan untuk kembali bekerja dan menjalani kehidupan yang bebas daripada unsur menyalahi undang-undang, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R.Ramanan.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata ada sesetengah bekas banduan kembali ke penjara kerana tidak diberikan peluang kedua oleh masyarakat dan ini tidak sewajarnya berlaku. 

“Data menunjukkan kira-kira 17.6 peratus banduan bebas kembali masuk penjara kerana tiadanya peluang pekerjaan atau pendapatan berikutan masyarakat serta usahawan (majikan) bersikap bias kerana status seseorang itu sebagai banduan.

“Mereka ini dianggap individu yang membuat kesalahan atau penjenayah tanpa memberi ruang untuk mereka berubah. Oleh itu, kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan seperti Malaysia Needy Association, banduan ini mempunyai kemahiran yang memberi jaminan pekerjaan sekali gus mengekang mereka kembali kepada kehidupan lama,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sijil Kursus Gunting Rambut Penjara Sungai Buloh di Dataran Harapan, Penjara Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Dalam majlis sama, Ramanan berkata seramai 18 penghuni Penjara Sungai Buloh kini memperoleh sijil hasil penyertaan mereka dalam bengkel gunting rambut yang dimulakan sejak pertengahan tahun lepas.

“Seramai 10 peserta perintis memulakan 46 sesi latihan bermula Jun tahun lalu dan lapan lagi peserta mengikuti bengkel sama mulai April lalu yang meliputi teori pengenalan peralatan gunting rambut dan diikuti praktikal menggunting rambut pelanggan,” katanya.

Bengkel berkenaan dikendalikan Jabatan Penjara dengan kerjasama Malaysian Needy Association serta di bawah tajaan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPGM) - Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Jsuteru, beliau berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain diharap dapat tampil melaksanakan program yang membantu meningkatkan kemahiran insaniah banduan sebagai persediaan mereka kembali kepada masyarakat. 

“Ia kerana bengkel seperti kursus gunting rambut ini bukan saja memberi kemahiran teknikal kepada peserta, tetapi juga menfokuskan aspek pemulihan dalam penjara, memupuk nilai tanggungjawab dan disiplin. 

“Jadi, pendekatan holistik ini tidak hanya menghasilkan latihan vokasional, tetapi menyumbang kepada kesejahteraan keseluruhan banduan dengan kemahiran dipelajari membentuk nilai positif, meningkatkan kebolehpasaran, mendorong perubahan tingkah laku positif dan mengurangkan residivisme dalam komuniti,” katanya. 

Turut hadir Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Banduan (Seksyen Vokasional dan Industri) Jabatan Penjara Timbalan Komisioner Penjara (TKP) Tey Hock Soon, Pengarah Penjara Selangor dan Kuala Lumpur TKP Aminon Adnan, Pengarah Penjara Sungai Buloh TKP Nik Robidin Ab Rahman dan Pengerusi Malaysian Needy Association K Prakash. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan