SUKAN

Kian Meng-pei Jing Buru Slot Jelajah Dunia Akhir

24/05/2024 05:36 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Walaupun tidak layak ke Sukan Olimpik Paris 2024, beregu campuran profesional negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing enggan mengibarkan ‘bendera putih’ apabila tetap bersemangat memburu slot ke Jelajah Dunia Akhir 2024 di Hangzhou, China pada Disember ini. 

Selepas tersingkir pada suku akhir Masters Malaysia hari ini, Kian Meng memaklumkan mereka akan menyertai sekurang-kurangnya 10 kejohanan, dengan yang terdekat ialah Terbuka Singapura 2024 (28 Mei-2 Jun) untuk meningkatkan ranking mereka yang kini berada di tangga ke-24 dunia. 

“Saya rasa sekarang kami mungkin pilih kejohanan, tetapi akan sertai kebanyakan kejohanan besar untuk tingkatkan ranking dan cuba layak ke Jelajah Dunia Akhir yang merupakan sasaran kami,” katanya kepada pemberita di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini. 

Turun sebagai pilihan kelapan kejohanan dan wakil Malaysia yang terakhir untuk juarai Masters Malaysia pada 2017, Kian Meng-Pei Jing ditunjukkan jalan keluar oleh rakan senegara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menerusi permainan straight set 19-21, 14-21. 

Pei Jing, yang mengakui prestasi cemerlang mempengaruhi penajaan kepada pemain profesional, berkata, pastinya penaja secara automatik akan berminat untuk ‘berkongsi rezeki’ dengan mereka sekiranya mempamerkan keputusan memberangsangkan. 

“Kalau keputusan awak bagus, saya rasa awak tidak perlu cari sponsor, sebaliknya mereka akan datang cari awak, tetapi setakat ini keputusan kami memang bukan yang terbaik. 

“Kadangkala prestasi menurun, jadi fokus kami sekarang adalah meningkatkan lagi prestasi walaupun sudah tidak layak ke Olimpik. Ini memang sasaran untuk diri sendiri sebagai seorang atlet,” katanya yang memaklumkan jenama pakaian, Viktor kini menjadi satu-satunya penaja mereka. 

Pei Jing juga memaklumkan perjuangan memburu slot ke Olimpik Los Angeles 2028 perlu berpandukan beberapa perkara seperti kesiapsiagaan penaja serta kemampuan tubuh mereka untuk menabur bakti kepada negara. 

Jelajah Dunia Akhir 2024 akan berlangsung di Hangzhou, China pada 11 hingga 15 Dis ini. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan