AM

FAHMI HARUNGI JADUAL PADAT DALAM LAWATAN KERJA DI KUCHING

24/05/2024 04:49 PM

KUCHING, 24 Mei (Bernama) -- Jadual padat Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dalam lawatan kerja lima hari ke Sarawak bermula dengan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak pagi tadi.

Turut bersama beliau dalan kunjungan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj dan Ketua Biro Bernama Sarawak, Hamdan Ismail.

Fahmi yang yang tiba di sini malam tadi, seterusnya membuat tinjauan di tapak pameran sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di Plaza Merdeka di sini, sebelum beliau menunaikan solat Jumaat di Masjid India Bandar Raya Kuching yang lebih dikenali sebagai Masjid Terapung di Tebingan Sungai Kuching.

Beliau kemudiannya menyantuni pegawai dan anggota jabatan dan agensi kementeriannya yang berkhidmat di Sarawak dalam satu majlis jamuan makan tengah hari di Kompleks Islam Sarawak, sebelum menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian SMART600 Multi Operator Core Network (MOCN) yang turut dihadiri oleh Menteri Utiliti  dan Komunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi di Hikmah Exchange.

Pada sebelah malamnya beliau menghadiri sesi temu ramah khas bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Television Malaysia (RTM) dan TV Sarawak (TVS).

Pagi esok pula beliau dijadual menghadiri sesi dialog bersama mahasiswa dalam program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa anjuran bersama Bernama dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Pustaka Negeri Sarawak.

Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa yang julung kali diadakan ini akan melibatkan kira-kira 300 orang pelajar dan akan turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Datuk Abdullah Saidol.

Pada sebelah petangnya pula, Fahmi akan merasmikan Pameran HAWANA 2024 yang melibatkan 20 pempamer yang antaranya terdiri dari organisasi media dari dalam dan luar Sarawak. 

Untuk program pada Ahad, beliau akan menghadiri Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2024 sempena HAWANA 2024 yang akan dirasmikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, selain menghadiri jamuan malam bersama Yang Dipertua Negeri Sarawak sempena penganjuran SMeC.

Pada hari yang sama, beliau akan mengadakan sesi perjumpaan dengan Komuniti MADANI Sarawak dan wakil dari Reporters Without Borders.

Pada Isnin ini, beliau akan mengadakan perjumpaan bersama pembekal-pembekal perkhidmatan di bawah program Jalinan Digital Negara (JENDELA) serta lawatan tinjauan ke projek ‘Point of Presence’ (PoP) berdekatan bandar raya Kuching.

Fahmi juga dijadualkan berucap pada Majlis Kemuncak HAWANA 2024 yang akan berlangsung pada sebelah petangnya yang bakal dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri Abang Johari.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan