AM

Suasana Hiba, Sayu Iringi Penerbangan Pulang Jenazah Sarjan Faridah

24/05/2024 04:44 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Jenazah anggota Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) Sarjan Faridah Abd Rahman yang meninggal dunia pada Sabtu lepas, diterbangkan pulang ke tanah air petang semalam. 

Markas Angkatan Bersama dalam kenyataan menerusi laman Facebook berkata, pesawat komersial membawa pulang jenazah berlepas dari Lapangan Terbang Rafik Hariri, Beirut pada 12.05 tengah hari waktu Lubnan (5.05 petang waktu Malaysia) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi urusan pengebumian di kampung halaman Allahyarham di Pendang, Kedah esok.

Menurut kenyataan itu, majlis penghormatan ke atas Allahyarham Sarjan Faridah dilaksanakan mengikut tradisi ketenteraan oleh pihak UNIFIL bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafik Hariri.

Turut hadir Komander UNIFIL Lt Jen Aroldo Lazaro, Duta Besar Malaysia ke Lubnan Azri Mat Yaacob, Panglima 5 Briged (LAF) Brig Jen Ahmad Saadeh, Komander Sektor Barat Brig Jen Enrico Fontana serta Komander MALBATT 850-11, Kolonel Burhan Sagoni.

“Ketibaan jenazah Allahyarham turut disambut oleh Kontinjen MALBATT 850-11 dan suasana hiba dapat dirasakan apabila jenazah diturunkan daripada van jenazah dan diusung masuk.

“Tetamu kenamaan yang hadir memberikan tabik hormat ketika keranda jenazah diusung dan diletakkan di tengah-tengah medan dibaluti bendera UNIFIL,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan upacara tersebut dimulakan dengan pengurniaan pingat PBB dan Pingat Keberanian Tentera Lubnan (Gangsa) kepada Allahyarham dan Lazaro kemudiannya meletakkan pingat PBB sebagai pengiktirafan di atas pengorbanan Sarjan Faridah sepanjang berkhidmat di bawah panji-panji PBB.

“Kemudian, wakil LAF Ahmad Saadeh meletakkan pingat Lubnan sebagai tanda penghargaan dari kerajaan Lubnan dan kalungan bunga turut diletak dengan dimulakan oleh Komander UNIFIL dan disusuli Duta Besar Malaysia ke Lubnan, wakil LAF, Komander Sektor Barat dan Komander MALBATT,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut, suasana di medan bertukar hening dan pilu seketika semasa tiupan 'last post' sebagai penghormatan terakhir kepada Allahyarham Sarjan Faridah.

Dalam kenyataan sama, upacara tersebut kemudiannya diakhiri dengan bendera UNIFIL dilipat oleh anggota MALBATT dan doa dibacakan sebelum keranda Allahyarham, yang dilitupi Jalur Gemilang diusung keluar dari medan dan dibawa ke tempat penyimpanan kargo untuk diterbangkan ke Malaysia.

Pada 19 Mei lepas, Markas ATM dalam kenyataan memaklumkan Faridah meninggal dunia pada 2.25 pagi waktu Lubnan atau 7.25 pagi waktu Malaysia apabila rebah selepas turun dari bas di Kem Marakah, sejurus tiba di Lubnan daripada bercuti selama sebulan di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan