AM

KEPELBAGAIAN MAKANAN TRADISIONAL SATUKAN RAKYAT MALAYSIA - AARON

24/05/2024 04:03 PM

JOHOR BAHRU, 24 Mei (Bernama) -- Kepelbagaian makanan tradisional boleh menjadi wadah menyatukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia, yang perlu dipromosikan bukan sahaja di peringkat nasional malah antarabangsa, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang 

"Di Malaysia kita dapat lihat rakyat pelbagai kaum duduk dan makan bersama-sama. Tiada beza atau sempadan antara kita.

"Oleh itu pihak kementerian mahu mempromosikan perkara ini sebagai satu cara memupuk perpaduan kepada kita semua," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Wacana Kelestarian Keselamatan, Perpaduan dan Keharmonian Negara di Angsana Johor Bahru Mall.

Acara itu diadakan sempena Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Kebangsaan 2024 yang bermula semalam hingga Ahad ini.

Aaron berkata antara makanan tradisi merentas sempadan kaum yang boleh dipromosikan ialah kacang pool yang amat popular dalam kalangan masyarakat Melayu di Johor.

"Bagi meraikan sajian itu, hari ini kita mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) baharu untuk jumlah peserta teramai memakan kacang pool bersama-sama iaitu seramai 2,400 orang daripada pelbagai latar belakang masyarakat.

"Tahun lepas, kita mempromosikan laksa Sarawak sempena SMP Peringkat Kebangsaan di Kuching, Sarawak. Jadi tahun ini kita angkat menu tempatan di sini," katanya sambil menambah pihaknya yakin dapat mencapai sasaran 200,000 pengunjung bagi penganjuran SMP kali ini.

Aaron berkata kerajaan sentiasa berusaha mengangkat identiti makanan Malaysia sebagai simbol khazanah warisan negara yang merupakan satu daripada inisiatif Kementerian Perpaduan Negara iaitu 'Ini Warisan Kita'.

Program kali kedua anjuran kementerian itu bertujuan memperkukuhkan perpaduan rakyat dan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 malam, esok.

Pelbagai aktiviti diadakan bermula 10 pagi hingga 10 malam antaranya pameran rumah KAMI (22 rumah etnik); perkampungan Orang Asli suku kaum Seletar, Mahmeri dan Semai; perkampungan Rumah Panjang suku kaum Iban; pameran jabatan dan agensi kerajaan dan swasta serta Jualan Rahmah.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan