EKONOMI

Pasaran Buruh Berkembang 1.9 Peratus Suku Pertama 2024

24/05/2024 04:12 PM

PUTRAJAYA, 24 Mei (Bernama) -- Bilangan tenaga buruh meningkat 1.9 peratus, merekodkan sebanyak 16.96 juta orang bagi suku pertama tahun ini, menurut Sorotan Pasaran Buruh Suku Pertama 2024 oleh Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata kadar penyertaan tenaga buruh meningkat 0.4 mata peratus bagi tempoh sama iaitu kepada 70.2 peratus, selaras dengan pertumbuhan ekonomi yang berkembang 4.2 peratus.

Beliau berkata bilangan penganggur menurun kepada 561,100 orang iaitu penurunan 4.4 peratus, menjadikan kadar pengangguran negara pada 3.3 peratus.

Dari perspektif permintaan buruh, Mohd Uzir memaklumkan jawatan dalam sektor swasta pula meningkat 1.5 peratus iaitu kepada 8.94 juta jawatan.

“Jawatan diisi merangkumi 97.9 peratus daripada jumlah jawatan, iaitu peningkatan sebanyak 1.5 peratus kepada 8.75 juta," katanya.

Mohd Uzir berkata keadaan pasaran buruh Malaysia berkembang pada suku tahun pertama 2024 berikutan peningkatan dalam permintaan dan penawaran.

"Walaupun menghadapi cabaran luar yang berterusan, prospek ekonomi Malaysia akan terus disokong oleh perkembangan permintaan domestik yang mampan dan permintaan luaran yang bertambah baik, termasuk peningkatan aktiviti pelancongan, pelaksanaan projek infrastruktur yang berterusan, pelaburan langsung asing yang komited dan inisiatif kerajaan," katanya.

Beliau berkata prospek ekonomi negara yang menggalakkan akan membawa kepada perniagaan dan aktiviti ekonomi yang lebih rancak, seterusnya mewujudkan lebih banyak jawatan berkemahiran tinggi dan peluang pendapatan yang lebih besar.

"Oleh itu, keadaan pasaran buruh yang meyakinkan dijangka pada suku tahun yang akan datang, mencerminkan keyakinan terhadap ekonomi," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan