AM

WARGA EMAS PAMER GAMBAR AGONG PADA PRK KKB, AKAN DITUDUH SEMULA

24/05/2024 04:07 PM

KUALA KUBU BHARU, 24 Mei (Bernama) -- Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu di sini hari ini menetapkan 30 Mei ini bagi pertuduhan semula terhadap seorang warga emas yang mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu awal bulan lepas.

Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Asmah Che Wan memaklumkan bahawa P. Ramasamy, 66, tidak hadir ke mahkamah hari ini dan memohon satu tarikh sebutan ditetapkan.

“Mahkamah ambil maklum bahawa permohonan semakan tertuduh di Mahkamah Tinggi (Shah Alam) bertarikh 23 Mei telah dibenarkan. Sabitan dan hukuman (tertuduh) diketepikan.

"Dalam kes ini (pertuduhan semula) mahkamah menetapkan 30 Mei untuk sebutan bagi kehadiran tertuduh," kata Siti Fatimah.

Terdahulu, peguam L. Pavitra yang mewakili Ramasamy berkata selepas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam, anak guamnya masih berada di Penjara Kajang, namun keberadaan lelaki itu pada hari ini tidak dapat dipastikan.

Semalam, Pesuruhjaya Kehakiman Dr Wendy Ooi Su Ghee menolak pengakuan bersalah Ramasamy selepas membenarkan permohonan semakan difailkan tertuduh terhadap pengakuan bersalahnya sebelum ini di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu.

Ooi memutuskan demikian atas alasan Ramasamy tidak memahami kesan pengakuan pertuduhan berdasarkan mitigasi yang dikemukakan di Mahkamah Majistret, sekali gus menjadikan pengakuan berkenaan sebagai pengakuan bersyarat serta mengarahkan kes itu dikembalikan semula kepada Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu untuk dibicarakan.

Pada 6 Mei lepas, Ramasamy yang tidak diwakili peguam dijatuhi hukuman penjara sebulan dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan. 

Mahkamah Majistret itu turut mengarahkan Ramasamy yang berkerja sendiri, untuk menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap pada 4 Mei dan penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Ramasamy didakwa mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan membawa sepanduk Pakatan Harapan (PH) menggunakan kenderaan pacuan empat roda, dengan kecenderungan untuk mengembangkan perasaan permusuhan antara golongan pengundi yang berbeza dalam PRK KKB, bagi mendorong mana-mana pengundi supaya mengundi calon PH.

Perbuatan itu dilakukan di sekitar Taman Bukit Bunga dekat sini pada 5.40 petang, 4 Mei lepas, dengan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(A)1 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan