EKONOMI

MITI RAIH POTENSI PELABURAN RM1.45 BILION DAN EKSPORT RM550 JUTA DARI JEPUN

24/05/2024 01:01 PM

Daripada Noor Soraya Mohammad Jamal

TOKYO, 24 Mei (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berjaya meraih potensi pelaburan bernilai RM1.45 bilion dan eksport RM550 juta daripada pertemuan dengan syarikat Jepun bersempena dengan lawatan kerja singkat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun bermula 22 hingga 24 Mei, 2024. 

Beberapa projek daripada pelaburan itu akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun dan bakal membantu Malaysia mewujudkan ekosistem yang kukuh dalam sektor semikonduktor, tenaga boleh baharu dan teknologi hijau, kata MITI. 

Manakala beberapa projek merupakan pemangkin penting ke arah mencapai matlamat pelepasan karbon sifar bersih Malaysia menjelang 2050. 

Antara syarikat yang mengadakan pertemuan dengan MITI ialah IHI Corporation, Nisshin Oillio Group, Tokuyama Corporation, Sumitomo Corporation, ENEOS Holdings, Mitsubishi Corporation dan Tokyo Gas.

“Kita berbesar hati dapat memperoleh potensi pelaburan RM1.45 bilion dan potensi eksport RM550 juta daripada lawatan ringkas tapi membuahkan hasil ini,” kata Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan