AM

AHMAD FUZI HARAP PEMBINAAN LRT TIDAK MENGABAIKAN ALAM SEKITAR, PENIAGA KECIL

24/05/2024 12:54 PM

GEORGE TOWN, 24 Mei (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak berharap pembinaan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) turut mengambil kira kepentingan kerajaan negeri tanpa menidakkan atau mengabaikan kehijauan alam sekitar serta peniaga kecil dan sederhana di kawasan yang bakal dirancang. 

Beliau menaruh keyakinan pembinaan projek ini yang akan melibatkan syarikat MRT Corporation dengan kerjasama kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan segera.

"Satu daripada projek mega di Pulau Pinang yang telah lama dinanti-nantikan akan dilaksanakan dalam masa terdekat ialah pembinaan Projek LRT dengan kos RM10 bilion hingga RM13 bilion yang bakal dilaksanakan melalui Kementerian Pengangkutan.

"Di samping memberikan tumpuan pada jajaran stesen dan depoh yang lebih strategik, pihak berkenaan perlu mengambil kira kepentingan kerajaan negeri tanpa menidakkan atau mengabaikan kehijauan alam sekitar serta peniaga kecil dan sederhana di kawasan yang bakal dirancang," katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15 di sini hari ini.

Ahmad Fuzi berkata kerajaan negeri telah memohon sebanyak 93 projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi negeri Pulau Pinang yang melibatkan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM17.7 bilion dan peruntukan yang diperlukan bagi 2025 berjumlah RM2.8 bilion. 

Beliau memohon agar kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan kesemua permohonan ini dengan sebaiknya sejajar dengan rekod dan prestasi kecemerlangan yang dikecapi oleh negeri ini. 

"Potret kecemerlangan negeri kita dapat dilihat apabila Pulau Pinang terus berdiri teguh dengan mencatatkan sebanyak RM71.9 bilion dalam pelaburan yang diluluskan meliputi sektor utama iaitu pembuatan dan perkhidmatan sepanjang 2023 dan seterusnya mengukuhkan status negeri ini sebagai destinasi pelaburan utama. 

"Meskipun negara kita berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi global sepanjang 2023, peningkatan ini adalah cukup ketara iaitu sebanyak 77 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan jumlah pelaburan yang diluluskan RM16.3 bilion," katanya.

Namun, beliau berkata kerajaan negeri perlu mengambil langkah proaktif untuk melaksanakan "Strategi Pengurangan Unjuran Defisit Negeri Tahun 2024" di samping mempergiatkan usaha menggandakan hasil sumber pendapatan negeri.

"Secara amnya, Pulau Pinang merupakan antara negeri yang sentiasa menunjukkan prestasi kewangan yang cukup baik berbanding negeri lain di Malaysia kerana defisit perbelanjaan sebenar negeri masih mampu ditampung oleh baki terkumpul Akaun Hasil Disatukan Negeri, sekali gus mencatat prestasi kewangan yang positif pada akhir tahun. 

"Sebagai tambahan, Pulau Pinang merupakan negeri kedua yang mencatatkan jumlah terkumpul baki pinjaman kerajaan Persekutuan belum selesai yang terendah iaitu sebanyak RM36.73 juta hingga 31 Januari 2024," katanya.

Mesyuarat ditangguh dan akan bersambung Isnin 27 Mei.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan