EKONOMI

MALAKOFF BELI EKUITI DALAM ZEC SOLAR DAN TJZ SURIA

24/05/2024 12:45 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Malakoff Corporation Bhd telah memeterai perjanjian jual beli saham bersyarat dengan Zelleco Engineering Sdn Bhd untuk dua pengambilalihan.

Di bawah perjanjian itu, Malakoff akan membeli 22.39 juta saham biasa, mewakili 51 peratus kepentingan ekuiti dalam ZEC Solar Sdn Bhd, dan 49,000 saham biasa, mewakili 49 peratus kepentingan ekuiti dalam TJZ Suria Sdn Bhd.

Syarikat penjanaan tenaga multinasional dan penyelesaian alam sekitar itu dalam satu kenyataan berkata pembelian saham berkenaan dijangka meningkatkan kapasiti kepada 128 megawatt (MW) dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) dan mengoptimumkan kos operasi menerusi sinergi sumber.

“ZEC Solar adalah pemilik dan pemaju kemudahan solar berskala besar (LSS) berkapasiti 29 MW, terletak di Kota Tinggi, Johor.

“Pengambilalihan ini menawarkan Malakoff peluang untuk mengembangkan kapasiti dan portfolionya dalam sektor RE. Ia juga sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), menunjukkan sokongan padu dan komitmen Malakoff untuk mempercepatkan agenda pertumbuhan hijau dan mampan negara,” katanya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata: “Ia akan menambah kapasiti solar 15 MW kepada portfolio kami, menjadikan jumlah kapasiti terpasang bagi RE Malakoff kepada 168 MW.

“Inisiatif ini juga akan diuruskan oleh pasukan operasi dan penyelenggaraan kami, memastikan pelaksanaan dan pengurusan projek yang lancar dan cekap.

“Pengembangan ini akan meningkatkan keupayaan teknikal Malakoff dengan ketara dan menyediakan loji rujukan untuk memenuhi keperluan pembidaan LSS pada masa hadapan, di dalam dan luar negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan