JENAYAH & MAHKAMAH

Kpdn Rampas 15,800 Liter Diesel Di Jitra, Kuala Kedah

23/05/2024 11:36 PM

JITRA, 23 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 15,800 liter minyak diesel bersubsidi dianggarkan bernilai RM33,970 yang disyaki cuba diseleweng  dalam dua serbuan di Jitra dan Kuala Kedah, semalam.

Pengarah KPDN Kedah Muhammad Nizam Jamaludin berkata dalam serbuan pertama di sebuah stesen minyak di Jalan Kuari Muda di sini, pihaknya menemukan 6,000 liter minyak diesel dianggar bernilai RM12,900 yang disimpan dalam dua tangki fiber dalam sebuah lori treler.

Beliau berkata pihaknya menahan pemilik stesen minyak berusia 74 tahun untuk siasatan lanjut manakala pemandu lori berkenaan dipercayai telah melarikan diri.

Katanya serbuan kedua dilakukan Batalion 18, Pasukan Gerakan Am (PGA) di sebuah stor di Kuala Kedah pula menemukan 9,800 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM21,070.

“KPDN menerima serahan kes dari PGA dalam operasi itu melibatkan minyak diesel, empat lori beserta tangki dan peralatan yang digunakan untuk memindahkan bahan api berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Muhammad Nizam berkata lapan lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia 20 hingga 60 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata pihaknya masih menjalankan siasatan sama ada minyak diesel yang cuba diseleweng itu akan dijual untuk kegunaan industri atau diseludup ke negara jiran.

Menurutnya nilai rampasan termasuk kenderaan serta peralatan yang disita bagi kedua-dua serbuan itu berjumlah RM149,020.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan