AM

Malaysia Dan Hong Kong Setuju Manfaatkan Aspek Ekonomi, Tvet

23/05/2024 11:07 PM

Daripada Muhammad Saufee Rosman

HONG KONG, 23 Mei (Bernama) -- Malaysia dan Hong Kong telah mencapai beberapa persetujuan antaranya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan ekonomi bagi manfaat kedua-dua pihak.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu dicapai semasa pertemuannya bersama Ketua Eksekutif dari Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) John Lee Ka Chiu, di sini hari ini.

Ahmad Zahid kini dalam lawatan rasmi pertama ke China sejak memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022 dan lawatan itu, yang bermula semalam hingga 1 Jun ini, adalah atas jemputan Naib Perdana Menteri China Ding Xuexiang. 

“Di Hong Kong beberapa politeknik dan sekolah teknikal TVET ini sangat berjaya dalam mengendalikan kursus terutama dalam bidang baharu yang juga sedang diterokai dan dimulakan di Malaysia.

“Mereka sedia untuk membantu dengan memulakan latihan untuk pengajar (training for trainers) iaitu hantar tenaga pengajar kita bagi mendapatkan latihan di Hong Kong dan diikuti juga dengan program pertukaran pelajar," katanya kepada media Malaysia. 

Beliau berkata ketika ini terdapat seramai 500 pelajar Malaysia sedang melanjutkan pelajaran di universiti di Hong Kong, dengan 95 peratus daripadanya merupakan penerima biasiswa.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata turut dibincangkan penubuhan sebuah pejabat perdagangan dan ekonomi oleh kerajaan Hong Kong di Kuala Lumpur, selain usaha meningkatkan penglibatan pengurus dana dari Wilayah Pentadbiran Khas itu memasuki pasaran saham Malaysia.

“Mereka telah bersetuju dengan penubuhan sebuah pejabat perdagangan dan ekonomi di Kuala Lumpur dan tujuannya adalah untuk memudahkan urus niaga, soal pentadbiran dan soal berkait kewangan di Malaysia kerana di Hong Kong kita (Malaysia) mempunyai pejabat konsulat jeneral yang (ditubuhkan bagi) mempermudahkan semua urusan.

“Setelah lebih setahun setengah kerajaan MADANI mentadbir negara ini, kita lihat bahawa tahap keyakinan dan sentimen kebolehpasaran itu meningkat dan saya mengambil peluang untuk mengajak pengurus dana di Hong Kong untuk turut serta merancakkan transaksi urus niaga di Bursa Saham kita,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Ahmad Zahid berkata aspek pelancongan turut disentuh dan kerajaan akan menambah jumlah penerbangan buat pelancong Hong Kong ke Malaysia.

“Terdapat peningkatan lebih 1,200 peratus pelancong daripada Hong Kong ke Malaysia. Pelancong ini bukan hanya ke Kuala Lumpur sahaja, tetapi juga ke Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak...maka tiga syarikat penerbangan (Hong Kong) telah memulakan penerbangan ini.

“Saya telah minta diberikan kemudahan untuk menambahkan penerbangan dan ia sedang ditangani oleh MOTAC (Kementerian Pelancong, Seni dan Budaya) dan MoT (Kementerian Pengangkutan),” katanya.

Ahmad Zahid berkata turut disentuh adalah mengenai pelancongan Islamik serta industri halal. 

“Saya beri beberapa indikasi untuk bantu mereka terutama melalui persatuan-persatuan Muslim di Hong Kong untuk pensijilan halal yang dapat kita bantu mereka dan tindakan susulan dapat dilakukan Halal Development Corporation (Berhad) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan