EKONOMI

Pelaburan China’ Di Sarawak Cecah Rm19.4 Bilion, Cipta Lebih 10,000 Peluang Pekerjaan - Abang Johari

23/05/2024 09:53 PM

KUCHING, 23 Mei (Bernama) -- China melabur lebih RM19.4 bilion, terutamanya dalam projek solar, keluli dan pembuatan berasaskan kayu di Sarawak, yang membantu mewujudkan lebih daripada 10,000 pekerjaan bagi penduduk setempat serta membawa manfaat sampingan kepada ekonomi tempatan.  

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pelaburan dari ekonomi kedua terbesar dunia itu membawa impak besar kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di wilayah ini.

“Pelaburan ini telah meningkatkan keupayaan industri selain merangsang pembangunan mampan dan inovasi,” katanya dalam ucapan beliau sempena Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024: Siri Libat Urus Perangkaian di Sarawak, di sini, hari ini.

Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Premier merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Abang Johari berkata China merupakan salah satu rakan dagangan utama Sarawak, dengan perdagangan, pelaburan dan projek kerjasama dalam pelbagai sektor.

Beliau berkata pada 2023, eksport Sarawak ke China, iaitu gas asli cecair, minyak makan dan logam asas, bernilai RM18.8 bilion, manakala import, iaitu jentera, barangan perkilangan dan produk pengguna, berjumlah RM9.9 bilion.

“Malah, kerjasama ekonomi antara China dan Sarawak terus berkembang dengan penglibatan China dalam pembangunan kuasa hidro, iaitu Bakun, Murum dan Baleh, yang menyokong matlamat kami untuk menjadi kuasa besar Asean,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan