EKONOMI

PETRON MALAYSIA CATAT UNTUNG BERSIH RM69.71 JUTA PADA SUKU PERTAMA

23/05/2024 09:07 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Petron Malaysia Refining and Marketing Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah kepada RM69.71 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2024 (S1 2024) daripada RM108.73 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

Hasil, bagaimanapun meningkat 22 peratus kepada RM4.65 bilion daripada RM3.82 bilion sebelumnya, disokong oleh pertumbuhan volum jualan ditambah dengan harga minyak yang lebih tinggi, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Jumlah jualan pada S1 2024 mencapai 9.8 juta tong, meningkat 18 peratus daripada 8.3 juta tong yang dijual dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Peningkatan dalam segmen perniagaan runcit dan komersial telah menjadi pendorong utama untuk kenaikan tersebut.

“Di samping itu, ini turut disokong oleh program pengembangan rangkaian runcit yang berterusan di Petron, serta peningkatan pengeluaran yang lebih tinggi di Loji Penapisan Port Dickson,” kata Petron Malaysia.

Ia menyatakan penanda aras harga minyak mentah Brent secara purata meningkat kepada US$83 setong pada S1 2024, lebih tinggi sedikit daripada purata US$81 setong untuk tempoh yang sama tahun lepas disebabkan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Timur Tengah dan Eropah Timur.

“Walaupun begitu, harga mungkin terjejas disebabkan permintaan minyak yang lemah kerana pertumbuhan ekonomi global masih kekal rapuh dengan ekonomi utama bergelut dengan kadar faedah yang tinggi yang menjejaskan sentimen perniagaan dan pengguna.

"Secara keseluruhannya, syarikat masih menjangkakan turun naik harga berterusan tahun ini," katanya.

Melangkah ke hadapan, Petron Malaysia kekal komited untuk mengejar pertumbuhan yang mampan melalui pelaburan dalam pengembangan rangkaian runcit, pengoptimuman rantaian bekalan dan inisiatif kemampanan walaupun terdapat ketidaktentuan yang timbul daripada turun naik pasaran minyak global yang berterusan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan