SUKAN

ARIF-ROY KING TUNDUKKAN BEREGU KE-12 DUNIA, MARA KE SUKU AKHIR

23/05/2024 07:34 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Beregu lelaki meningkat naik negara Wan Muhammad Arif Shaharuddin Wan Junaidi-Yap Roy King mengejutkan pilihan keempat kejohanan Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan dari Taiwan untuk mara ke suku akhir kejohanan badminton Masters Malaysia 2024.

Dimotivasikan oleh pencapaian suku akhir pada Terbuka Thailand minggu lepas, beregu ke-47 dunia itu bangkit daripada ketinggalan 13-21 pada set pertama untuk menewaskan beregu nombor 12 dunia tersebut dalam dua set seterusnya 21-15, 21-18, di Arena Axiata di sini hari ini.

Dalam usaha merebut tempat ke separuh akhir, Wan Muhammad Arif-Roy King akan mencabar pasangan pilihan keenam Rasmus Kjaer-Frederick Sogaard dari Denmark, yang menundukkan beregu dari Korea Selatan Kim Gi Jung-Kim Sa Rang 21-16, 21-18, esok.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Wan Muhammad Arif berkata meskipun tewas pada set pertama, mereka terus berazam dan bertenang untuk mengubah kedudukan.

“Kami menenangkan diri dan dapat tangani mental dengan baik sehingga akhir perlawanan. Kami tidak fikir banyak untuk perlawanan esok, hanya mahu hadapinya. 

“Pengalaman beraksi menentang beregu India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty (tewas 7-21, 14-21 pada suku akhir Terbuka Thailand) banyak membantu kami untuk meningkatkan kualiti permainan," katanya.

Roy King pula berkata kemenangan ke atas pemain ranking lebih tinggi meningkatkan keyakinan mereka untuk terus mencabar pemain handalan bagi mencapai sasaran kedudukan 32 teratas dunia.

“Apabila ranking kita meningkat (dengan menewaskan pemain ranking tinggi), kita boleh main dalam kejohanan yang tahapnya lebih tinggi untuk beraksi dengan pemain utama dunia dengan lebih kerap. Kita boleh kenal pasti kekurangan kita dan apa yang perlu ditingkatkan,” katanya.

Sementara itu, beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik sedikit goyah pada set kedua sebelum berjaya mengetepikan beregu ke-25 dunia dari China, Chen Bo Yang-Liu Yi, 21-13, 13-21, 21-10

Menanti beregu keempat dunia itu di suku akhir, beregu pada kedudukan ke-34, Jin Yong-Na Sung Seung dari Korea Selatan, yang mengejutkan pilihan kelapan Lu Ching Yao-Yang Po Han dari Taiwan 21-16, 21-9.

Menurut Aaron, mereka kehilangan rentak pada set kedua serta banyak melakukan kesilapan mudah.

Bagi perlawanan esok katanya mereka akan sekali lagi berdepan beregu yang tidak pernah ditentang sebelum ini.

Wooi Yik berkata mereka secara kasar mengetahui gaya bermain beregu Korea Selatan itu iaitu bertahan dan menyerang balas.

Dalam pada itu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani melangkah ke suku akhir kejohanan Super 500 pertama mereka sejak Terbuka Hong Kong pada November tahun lepas, selepas menundukkan Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeratsakul dari Thailand, 21-17, 21-12.

Sze Fei-Nur Izzuddin akan bertemu beregu Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan