JENAYAH & MAHKAMAH

1MDB SAMAN PATRICK MAHONEY, TUNTUT BAYAR SEMULA WANG US$1.83 BILION

23/05/2024 07:42 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memfailkan saman terhadap Ketua Pegawai Pelaburan PetroSaudi International Ltd Patrick Mahoney bagi menuntutnya membayar semula wang berjumlah US$1.83 bilion kerana didakwa telah membantu beberapa individu termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan dana 1MDB.

Selain Mahoney, 1MDB yang memfailkan saman itu pada 7 Mei lepas menerusi Tetuan Lim Chee Wee Partnership di Mahkamah Tinggi di sini, turut menamakan firma guaman yang berpangkalan di United Kingdom iaitu White & Case LLP (White & Case) sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh media, 1MDB selaku plaintif mendakwa Mahoney secara tidak jujur telah membantu Najib dan beberapa individu lain seperti Pengarah Eksekutif 1MDB Casey Tang Keng Chee, ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan Pengarah PSI, Tarek Obaid untuk menipu 1MDB.

Syarikat itu mendakwa Mahoney dengan sengaja terlibat dalam rancangan untuk berkomplot, berkonspirasi dan menipu dalam skim penipuan membabitkan sejumlah wang yang besar daripada 1MDB bersama-sama dengan Jho Low, Najib dan Tarek Obaid.

Plaintif juga mendakwa White & Case menyediakan perjanjian pembelian saham dan pinjaman yang palsu bagi pihak PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd / PetroSaudi International Ltd atas arahan Mahoney untuk menipu 1MDB.

Oleh itu, 1MDB antara lain menuntut satu deklarasi bahawa Mahoney dan White & Case bertanggungjawab sebagai pemegang amanah konstruktif bagi dana berjumlah US$1.83 bilion dan membayar jumlah itu kepadanya atau jumlah lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah atas alasan bantuan tidak jujur.

Ia juga memohon perisytiharan bahawa kedua-dua defendan bertanggungjawab bagi wang berjumlah US$33,000,000 dan membayar kepadanya jumlah itu atau jumlah lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah, atas alasan penerimaan yang diketahui.

1MDB turut menuntut ganti rugi US$1.83 bilion, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan