AM

Hayati Keindahan Warisan Sambil Hirup Kopi Di Pusat Warisan Oldtown

23/05/2024 05:14 PM

IPOH, 23 Mei (Bernama) -- Rangkaian kopitiam halal terbesar di Malaysia, OldTown White Coffee (OTWC) merasmikan pembukaan pusat warisan baharu dikenali sebagai Pusat Warisan Oldtown di Jalan Panglima di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kopitiam Asia Pacific Sdn Bhd Dawn Liew berkata pembukaan Pusat Warisan Oldtown itu bersempena Tahun Melawat Perak 2024 dan sebagai lambang terbaharu OTWC yang meliputi tiga kawasan tumpuan pengunjung.

"Antara tarikan utama adalah Earthcare Cafe, sebuah kafe berkonsep makanan ‘dari ladang ke meja’  yang menawarkan kelainan citarasa dan menu baharu berbeza dengan konsep kopitiam OTWC lain," katanya selepas merasmikan pembukaan pusat warisan itu.

Beliau berkata kafe tiga tingkat itu turut dilengkapi sebuah galeri seni yang mempamerkan karya artis melalui Projek Kolaborasi Warisan Artis dan kedai cenderahati eksklusif OTWC yang terkenal dengan minuman kopi putih istimewa serta juadah tradisional tempatan.

Menurutnya selain lokasi menikmati kopi dan makanan enak, Pusat Warisan Oldtown merupakan satu khazanah pelancongan unik bagi pengunjung mengenali sejarah perkembangan kopi putih Ipoh.

"Oleh kerana lokasi pusat warisan ini terletak di sekitar Jejak Warisan (Heritage Trail) yang kaya dengan sejarah, kita perlu mengekalkan keunikan kawasan ini dan kami berharap ia dapat dicerminkan melalui seni bina bangunan ini serta cara pengendalian operasi kami," katanya.

Dawn berkata sempena majlis pembukaan pusat warisan itu, turut dirasmi Projek Kolaborasi Warisan Artis OTWC pertama yang disertai beberapa penggiat seni tempatan termasuk pereka fesyen terkenal Melinda Ooi dan artis karikatur Azmi Hussin.

Menurutnya projek itu merupakan inisiatif OTWC untuk mempamerkan karya seni artis tempatan yang mengagungkan pembangunan dan perkembangan industri kopi putih Ipoh.

"Projek Kolaborasi Warisan Artis ini akan menjadi inisiatif berterusan Pusat Warisan OldTown bagi menyokong serta membangunkan artis dan tukang (pelukis mural dan lain-lain). Justeru, kami akan meneruskan usaha mencari bakat baharu untuk memperbanyak koleksi seni di galeri ini," katanya.

Sementara itu, Melinda yang turut hadir menampilkan karya Beg Tote Warisan Oldtown edisi terhad dan eksklusif sempena pembukaan itu, selain sebelum ini pernah mereka bentuk cawan kopi coklat ikonik OTWC pada 2009.

Jurugambar serba boleh Jeffrey Lim yang juga peminat warisan pula menyumbang dapur pembuatan kopi vintaj, koleksi cawan kopi antik dan pemasangan foto 'Keturunan Kopi Tradisional' yang dipamer di galeri kafe berkenaan.

  -- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan