AM

PENDAKI DARI LABUAN KIBAR JALUR GEMILANG, BENDERA LABUAN DI ANNAPURNA BASE CAMP NEPAL

23/05/2024 09:47 PM

LABUAN, 23 Mei (Bernama) -- Sekumpulan 18 pendaki tempatan membanggakan Labuan apabila berjaya menjejakkan kaki di Annapurna Base Camp (ABC) di Nepal yang terletak pada ketinggian 4,130 meter.

Ekspedisi yang bermula pada 16 Mei itu melibatkan peserta berumur sembilan hingga 63 tahun.

Pendaki Mohd Ismifarizal Mohammed Ishak berkata ekspedisi itu antara lain bertujuan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Labuan di kem yang berfungsi sebagai pintu masuk ke Gunung Annapurna, puncak ke-10 tertinggi di dunia pada ketinggian 8,091 meter itu.

“Kami amat berbangga dapat sampai ke kem itu dalam masa lima hari, kami semua dalam keadaan sihat...kami mengibarkan bendera Malaysia dan Labuan bersama-sama dengan bendera pertubuhan seperti LDA Holdings, Yayasan Pembangunan Labuan (YPL), SMK Pantai Labuan, Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Labuan dan Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS),” kata Ismi ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pendaki termuda ialah dua beradik, Muhammad Isyraf Fiqry Ismifarizal, 9, dan Muhammad Isyraf Faiz Ismifarizal, 16, serta Diya Khalish Kasryanto,15, dan Muhammad Kaszym Aqim Kasryanto,17.

Mohd Ismifarizal berkata ekspedisi itu bermula melalui laluan dari Ghorepani (2,874 meter) ke Poon Hill (3,210 meter).

Beliau berkata kumpulan berkenaan tiba di ABC pada 6.06 pagi (waktu Nepal) 21 Mei dan semua pendaki dilaporkan tidak mengalami kesukaran bernafas walaupun cuaca sejuk.

“Kejayaan kami ini berkat doa serta sokongan ibu bapa, saudara-mara dan rakan-rakan…kami berharap pencapaian ini memberi inspirasi kepada lebih ramai penduduk tempatan untuk menyertai ekspedisi sebegini seterusnya membanggakan negara dan Labuan,” kata Ismi.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan