JOHOR BAHRU, 23 Mei (Bernama) -- Seorang anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 38 pertuduhan memperoleh rasuah berjumlah RM14,950 antara 2017 hingga 2021.
Wan Azmany Wan Ali@Wan Abdul Aziz, 46, yang berkhidmat sebagai Pembantu Kastam Kanan di JKDM Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didakwa memperoleh wang untuk diri sendiri dengan tiada balasan bernilai antara RM100 hingga RM3,000 menerusi 38 transaksi berbeza.
Kesemua wang itu diperoleh melalui pindahan wang ke dalam akaun bank miliknya daripada seorang pemilik ejen perkhidmatan pengangkutan kargo di KLIA, J Jehatis, 38, iaitu individu yang mempunyai hubungan dengan tugas rasmi pegawai kastam itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Taman Kebun Teh di sini antara 27 Mac 2017 hingga 2 Sept 2021 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Muhammad Asraf Mohamad Tahir manakala tertuduh yang juga bapa lima anak itu diwakili peguam Jamaludin Abdul Jalil.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial