AM

KERAJAAN BELUM TETAP TARIKH PELAKSANAAN PENYASARAN SEMULA SUBSIDI DIESEL - ARMIZAN

23/05/2024 03:15 PM

PELABUHAN KLANG, 23 Mei (Bernama) -- Kerajaan masih belum membuat ketetapan berhubung tarikh pelaksanaan penyasaran subsidi ke atas diesel, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata secara prinsipnya kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan penyasaran semula subsidi bahan api itu tahun ini sepertimana diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Selasa lepas. 

Bagaimanapun, katanya kerajaan hanya akan menetapkan tarikh pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel itu selepas Jemaah Menteri berpuas hati dengan mekanisme penyasaran tersebut termasuk sistem dan penentuan kumpulan sasar untuk mendapatkan bantuan sosial.

“…jadi, sebaik sahaja kerajaan memperkemas dan memperkukuhkan mekanisme pemberian bantuan sosial kepada golongan sasar berkenaan, saya kira barulah kerajaan akan membuat pengumuman dari segi tarikh pelaksanaannya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Fleet Card Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 di sini hari ini.

Armizan berkata penyasaran semula subsidi diesel itu turut melibatkan beberapa kementerian lain iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.  

Beliau berkata semua kementerian terlibat telah bersedia dan hanya menunggu pengumuman kerajaan mengenai tarikh pelaksanaan penyasaran semula  bahan api itu.

Dalam pada itu, Armizan berkata KPDN akan melaksanakan beberapa pendekatan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan melakukan pencatutan harga terhadap barangan kawalan selepas pelarasan semula harga diesel dikuatkuasakan.

"KPDN mempunyai pendekatan dalam menangani kemungkinan pihak tertentu melakukan pencatutan terhadap barangan keperluan yang akan kita umumkan selepas kerajaan memuktamadkan tarikh pelarasan semula subsidi diesel kelak," katanya.

Pada 21 Mei lepas, Anwar menerusi Perutusan Negara mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi ke atas diesel bagi pengguna di Semenanjung melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah SKDS.

Menurut Perdana Menteri penyasaran bersubsidi diesel itu tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak memandangkan bahan api itu digunakan untuk kenderaan hampir setiap keluarga di kedua-dua negeri berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Armizan berkata sejumlah 28,000 syarikat pengangkutan darat telah mendaftar dan mendapat kelulusan dalam pelaksanaan SKDS 2.0. 

Menurutnya 90,000 ‘fleet card’ juga telah dikeluarkan oleh lima syarikat minyak utama kepada syarikat pengangkutan yang layak dengan 33 jenis kenderaan sektor pengangkutan darat layak mendapatkan diesel subsidi di bawah SKDS 2.0.  

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan